suria

Johnny Depp Pula Berdepan Saman

BEKAS pengurus perniagaan Johnny Depp mengambil pendirian untuk mengemukakan saman balas terhadap pelakon berkenaan.

Syarikat The Management Group (TMG) memfailkan tuntutan balas itu bagi menuntut lebih daripada $560,000 (RM2.4 juta) berhubung komisen yang belum dibayar dan caj kad kredit.

Pada masa yang sama, syarikat itu turut bertindak menjawab tuduhan Depp bahawa mereka gagal menguruskan urusan perniagaannya.

"TMG melakukan segala yang termampu dalam tempoh 17 tahun yang lalu untuk melindungi Depp daripada dirinya sendiri dan menjaga kewangan Depp.

"Walau bagaimanapun akhirnya TMG tidak mempunyai kuasa atau keupayaan untuk mengawal perbelanjaan Depp atau sikap borosnya mahupun memaksa Depp membuat keputusan kewangan yang bijak," demikian menurut tuntutan balas itu.

Dalam dokumen mahkamah yang diperolehi E! News, syarikat The Mandel Company juga menyenaraikan beberapa perbelanjaan pelakon filem Pirates of the Caribbean itu termasuk penggunaan berterusan pesawat peribadi berjumlah $200,000 (RM885,000) sebulan dalam perbelanjaannya.

Pelakon berusia 53 tahun itu juga didakwa menggajikan kira-kira 40 pekerja sepenuh masa di seluruh dunia, yang menelan belanja sekurang-kurangnya $300,000 (RM1.3 juta) sebulan.

Dia juga menghabiskan $30,000 (RM132,000) setiap bulan bagi membeli minuman keras ternama yang diterbangkan kepadanya dari seluruh dunia.

Awal bulan ini, pasukan Depp memfailkan saman sebanyak $25 juta RM110.7 juta) terhadap pengurus perniagaannya atas kesalahan penipuan, salah tafsiran kecuaian dan melanggar kewajipan fidusiari (niaga).

Johnny Depp

Artikel Sebelum

Artikel Lain