suria

Alibaba Suntik AS$1 Bilion Tingkat Kepentingan Lazada

KUALA LUMPUR: Alibaba Group Holding Limited akan melabur kira-kiraUS$ 1 bilion untuk meningkatkan kepentingannya kepada kira-kira 83 peratus dalam Kumpulan Lazada, platform e-dagang yang terkemuka di Asia Tenggara.

Alibaba dalam satu kenyataan berkata, urus niaga itu membuktikan kejayaan berterusan perniagaan Lazada serta keyakinan Alibaba dalam potensi pertumbuhan pasaran di Asia Tenggara dan komitmen kepada rantau ini sebagai sebahagian daripada strategi global kumpulan berkenaan.

Sekarang ini,Alibaba yang memiliki kepentingan sebanyak 51 peratus dalam Lazada akan membeli saham-saham tersebut pada penilaian tersirat sebanyak AS$ 3.15 bilion,mencerminkan peningkatan ketara dalam nilai Lazada berbanding ketika Alibaba mendapatkan kepentingan majoritinya pada kali pertama dalam April 2016.

Urus niaga itu akan meningkat jumlah pelaburan Alibaba dalam Lazada kepada lebih AS$ 2 bilion.

Lazada akan terus beroperasi di bawah jenama yang sama.

Pelaburan serta kerjasama Alibaba dalam Lazada telah menjadi bahagian yang terpenting bagi mengembangkan tapak global Alibaba, menyediakan akses yang tiada tandingan kepada pengguna di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Lazada dan Alibaba, dalam tempoh 12 bulan lepas, telah bekerjasama dalam beberapa inisiatif untuk memajukan e-dagang di Asia Tenggara khususnya dalam mengurangkan halangan termasuk memudahkan perdagangan tanpa sempadan.

Inisiatif itu membabitkan penubuhan sebuah pusat e-pemenuhan di Malaysia yang akan membentuk sebahagian daripada strategi platform perdagangan elektronik dunia Alibaba, memajukan "Thailand 4.0" dan pelancaran Koleksi Taobao di Singapura serta Malaysia bagi membolehkan pelanggan tempatan untuk mendapatkan produk yang berkualiti tinggi dari China.

"Sebagai peneraju pasaran, Lazada telah menunjukkan keupayaan untuk membuat perlaksanaan dan mengetuai rantau ini dengan pengalaman pengguna yang terbaik di Asia Tenggara dan pada masa yang sama, meningkatkan ekosistem yang kukuh bagi menyokong perniagaan kecil ke dalam talian," kata Ketua Operasi Kumpulan Alibaba Daniel Zhang.

-- Bernama
Lazada, Alibaba

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Melaka Wujud Bazar Rakyat

Artikel Lain