suria

Digiland-NTT MSC Sdn Bhd Tandatangani MoU

KUALA LUMPUR: New Silkroutes Group  yang disenaraikan di papan utama Singapore Exchange (SGX) mengumumkan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara anak syarikatnya, Digiland Pte Ltd (Digiland) dengan NTT MSC Sdn Bhd (NTT MSC).

Fokus MoU itu melibatkan tiga bidang iaitu analisia data besar, laporan risikan perniagaan dan penyelesaian papan pemuka; perkhidmatan awan yang fokus pada aplikasi e-kerajaan, penyelesaian pengurusan hartanah, informasi dan pengurusan sistem penjagaan kesihatan; serta penyelesaian pengurusan dan pemuliharaan tenaga.

NTT MSC  yang berpangkalan di Malaysia merupakan anak syarikat milik penuh NTT Communications Corporation yang beribu pejabat di Jepun. Syarikat induk utamanya ialah Nippon Telegraph dan Telephone Corporation yang menjadi syarikat telekomunikasi tiga teratas di peringkat global dalam senarai Fortune Global 100.

Data besar merujuk kepada set data besar yang memerlukan perkakasan perisian pangkalan data luar biasa untuk merakam, menyimpan dan menganalisisnya. Eksploitasi pintar data besar dan anjakannya akan menjadi aset yang amat penting untuk syarikat bersaing secara lebih efektif.

NTT MSC dan Digiland berkongsi visi sama iaitu data besar kini sudah menjadi satu perkara yang normal. Justeru wujud keperluan untuk membina dan mengembangkan kemampuan eksploitasi pintar data-data ini sekarang. 

Kerjasama ini akan dapat mengukuhkan lagi kedudukan Digiland selaku peneraju serta penyedia perkhidmatan, penyelesaian analisis dan maklumat pilihan dalam usaha membuat keputusan dengan lebih baik. 

Menerusi kemampuan dan rangkaian global NTT MSC yang digabungkan bersama pengalaman luas Digiland dalam menyediakan penyelesaian kepada syarikat besar dan usahawan, penyelesaian yang ditawarkan oleh MoU ini berupaya memberi perkhidmatan yang menyeluruh untuk membantu organisasi memenuhi jurang eksploitasi pintar masing-masing. 

"Penyelesaian serta perkhidmatan kami akan membolehkan syarikat-syarikat untuk terus maju ke hadapan dan kekal kompetitif. Kerajaan-kerajaan juga boleh memanfaatkan ICT, infrastruktur rangkaian dan data besar untuk merancang dengan lebih baik. Di samping melaksanakan inisiatif-inisiatif program pembangunan di peringkat nasional.

“Selaku perintis dalam industri pengendali pusat-pusat data global, NTT MSC menyaksikan  peningkatan yang sangat besar dari segi jumlah maklumat dan data yang dijana oleh para pelanggan kami. Mengkaji data-data ini dengan pantas dan mengaplikasikan maklumat tepat untuk membuat keputusan penting dalam operasi syarikat atau pentadbiran negara  sememangnya menjadi cabaran besar yang dihadapi oleh ramai pembuat keputusan pada masa sekarang,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif NTT MSC Sdn. Bhd., Ken Deguchi.

“Sebagai peneraju dalam pertumbuhan pesat Data Besar ini, kami percaya bahawa kolaborasi dengan Digiland akan mampu menawarkan penyelesaian menyeluruh serta memberikan kelebihan tambahan kepada perniagaan pelanggan.” 

Perkhidmatan analisis dan e-Kerajaan merupakan pemacu pertumbahan utama hala tuju teknologi Digiland. Pakej-pakej penyelesaian akan disasarkan kepada kerajaan dan sektor swasta. Pelangganya terdiri daripada forensik keselamatan siber, risikan pasaran, pemuliharaan tenaga sehinggalah industri-industri yang tertumpu kepada pengguna awam seperti telekomunikasi serta pasaran-pasaran dalam talian.

Dalam bidang pengurusan dan penyelesaian pemuliharaan tenaga pula, kerjasama MoU ini secara khususnya berusaha untuk membangunkan perisian pengurusan tenaga secara bersama bagi mengoptimumkan sistem kawalan alam sekitar sesebuah bangunan dengan lebih bijak demi membolehkannya menggunakan tenaga dengan lebih rendah.

“Walaupun komputer semakin laju dan pendigitan data telah mempercepatkan proses informasi, kita masih memerlukan kepintaran manusia untuk menyelesaikan masalah yang kompleks,” jelas Ketua Pegawai Operasi Kumpulan New Silkroutes Group, Dr Goh Jin Hian.

“Pasukan kami telah mengambil langkah pertama yang signifikan untuk merakam intipati kepintaran manusia ke dalam aplikasi dan penyelesaian kami. Melalui NTT MSC, kami harap dapat menawarkan penyelesaian berasaskan awan ini kepada syarikat atau kerajaan di peringkat global yang mahu mengaplikasikan teknologi ini ke dalam aspek pengurusan infrastruktur penting mereka.”  


Digiland, NTT MSC

Artikel Lain