suria

MAS Menang Syarikat Penerbangan Terbaik Anugerah KLIA 2013

SEPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Malaysia Airlines (MAS) masing-masing memenangi Anugerah Khidmat Cemerlang dan Syarikat Penerbangan Terbaik (penumpang) pada Anugerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2013.

MASkargo pula memenangi Anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik Tahunan (Kargo) manakala Dunkin Donuts di Bangunan Terminal Utama KLIA memenangi anugerah F&B Outlet terbaik - peratus pertumbuhan jualan tertinggi manakala secara keseluruhannya F&B Premis terbaik tahunan dimenangi Bangunan Terminal Utama KLIA Jonker Walk.

Premis perkhidmatan terbaik dimenangi Celcom Axiata Berhad, di bangunan terminal utama KLIA.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abd Aziz Kaprawi yang menyampaikan anugerah kepada para pemenang dalam ucapannya bagi pihak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kerajaan memperuntukkan lebih RM1 bilion untuk mempromosi dan menyokong pertumbuhan industri pengangkutan.

Bagi 2015, kira-kira RM210 juta diperuntukkan untuk meningkatkan landasan Lapangan Terbang Lahad Datu bagi membolehkan pesawat berkapasiti lebih tinggi mendarat, selain meningkatkan kualiti perkhidmatan penerbangan luar bandar di Sabah dan Sarawak menerusi penyelenggaraan dan pajakan pesawat baharu, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Malaysia Airports Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata Malaysia Airports menjangkakan pertumbuhan trafik penumpang tahun ini rendah berbanding unjuran awal tahun ini.

"Seperti yang kita ketahui, industri ini melalui dua insiden malang. Susulan itu, pasaran perjalanan ke Malaysia, terutama dari China dan Eropah teruk terjejas. Ini memberi kesan ke atas hasil dan keuntungan tahun ini," katanya.

Anugerah KLIA, yang diperkenal pada 2006 dianjurkan untuk memberi penghargaan kepada rakan Malaysia Airports yang mencatat prestasi luar biasa.

Anugerah itu merupakan platform ideal untuk Malaysia Airports memberi penghargaan kepada rakannya yang mencatat prestasi dan perkhidmatan cemerlang.

Pemenang dipilih berasaskan pencapaian dalam sektor seperti pergerakan penumpang, faktor pertumbuhan, prestasi jualan, perakuan antarabangsa selain prestasi perkhidmatan.

Pemenang lain KLIA Awards 2013 termasuk Korean Air bagi Syarikat Penerbangan Asing (kargo), Indonesia AirAsia untuk Syarikat Penerbangan Asing (penumpang).

Syarikat penerbangan Terbaik - (penumpang), AirAsia untuk syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dan Turkish Airline bagi syarikat penerbangan asing baharu terbaik.
MAS, Anugerah KLIA

Artikel Sebelum

BSN Sumbang 14 Van Jenazah

Artikel Lain