suria

Peniaga Manipulasi CBP Raih Untung Boleh Didenda, Dipenjara

IPOH: Para peniaga sama ada individu atau syarikat boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 dan dipenjara selama tiga tahun jika didapati bersalah memanipulasi Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) pada bahan iklan dan promosi jualan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata pihaknya telah mula mengambil tindakan di beberapa tempat seperti di Nilai, Negeri Sembilan.

"Kementerian boleh bertindak turunkan bahan iklan dan promosi ini serta-merta jika ia mengandungi perkara yang mengelirukan pengguna, walaupun ia telah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan, KPDNKK ada hak bertindak sedemikian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasaraya Groom Big Coop Koperasi Usahawan Wilayah Utara Perak Berhad di Meru di sini, Selasa.

Beliau berkata rakyat tidak boleh ditipu dengan mudah kerana kerajaan sentiasa prihatin dengan bertindak terhadap aktiviti penyelewengan, manipulasi CBP dan penyampaian maklumat yang tidak benar kerana mahu meraih keuntungan secara salah.

Pengguna diminta menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6800 untuk sebarang aduan, dan pihaknya akan menyiasat serta bertindak tegas, katanya.

"Saya nak mengingkatkan semula kepada peniaga supaya jangan tamak, hanya memikirkan keuntungan semata-mata, kita perlu wujudkan suasana menang-menang, peniaga ada untung, pengguna dapat membeli dengan harga berpatutan dan suasana harmoni," katanya.

Mengenai tragedi banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands serta operasi menahan pendatang asing tanpa izin di kawasan tanah tinggi itu, yang boleh menjejas bekalan sayur-sayuran, Hasan berkata pihaknya telah berunding dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengenai perkara itu.

"Kita bersedia mengimport bekalan sayur-sayuran jika keadaan itu menjejaskan keperluan pengguna, namun bidang pengeluaran ini adalah di bawah kementerian pertanian. Kita menjaga pengguna, jika tiada pilihan kita akan import," katanya.

Mengenai perkembangan koperasi, beliau mahu sektor itu yang kini mempunyai lapan juta anggota dengan 11,450 buah koperasi mengambil peluang perniagaan atas hubungan baik Malaysia dengan negara luar seperti China dan Emiriyah Arab Bersatu.

"Malaysia ada hubungan rapat dengan China, kita perlu mengambil kesempatan ini, koperasi perlu fikirkan bagaimana mereka boleh menyumbang ke arah pertumbuhan negara, hubungan dengan China begitu luas, jangan fikirkan pasaran tempatan sahaja," katanya.

Koperasi Groom Big adalah inisiatif Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan SIRIM Berhad yang bermula pada 2005 bertujuan melahirkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana Bumiputera berdaya saing di peringkat domestik dan global.

Ketiga-tiga pihak itu membantu koperasi itu membangunkan dan meningkatkan kualiti produk yang dikenal pasti untuk dibangunkan dari aspek jenama, reka bentuk, label, pembungkusan, bahan promosi dan sebagainya.

CBP, GST

Artikel Berikut

Artikel Lain