suria

Mara W.P Sasar 5,000 Usahawan Baharu 2014

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) Wilayah Persekutuan (W.P) mensasarkan untuk melahirkan 5,000 usahawan baharu dalam industri peruncitan pada tahun ini. 

Pengarah Mara W.P, Suhaimi  Zainuddin berkata, setakat ini, mereka telah membantu kira-kira 13,000 peruncit dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, pemprosesan makanan, perkhidmatan, pembinaan dan lain-lain.

Beliau berkata, Mara turut menyediakan geran bernilai RM500,000 hingga RM1 juta untuk membantu golongan usahawan Bumiputera di negara ini.

"Mara menyediakan dana ini untuk usahawan baharu dan usahawan lama mengembangkan lagi perniagaan mereka ke skala yang lebih besar.Bagaimanapun ingin saya tegaskan di sini bahawa mereka (usahawan) perlu memulakan bisnes mereka terlebih dahulu.

"Kami (Mara) mahu melihat mereka ada kesungguhan dan mempunyai perancangan  rapi untuk memajukan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Ini bagi sikap mengelakkan kebergantungan terhadap dana kerajaan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Peruncitan 2014 anjuran Mara di Hotel Premiera, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, Mara kini memberi tumpuan kepada usaha membangunkan modal insan dikalangan graduan lepasan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM). 

Berhubung perancangan Mara W.P dalam tempoh tiga tahun akan datang, Suhaimi berkata selain daripada memberikan suntikan modal, Mara turut menyediakan premis perniagaan kepada usahawan serta bimbingan untuk memasarkan produk mereka. 

"Kita sentiasa membangunkan usahawan diperingkat domestik dan memberikan mereka bimbingan nasihat sebelum produk keluaran mereka boleh menembusi pasaran antarabangsa. 

"Dalam tempoh tiga tahun, kita menyasarkan untuk melahirkan lima ushawan yang dapat memasarkan produk mereka ke luar negara," katanya.  


Mara, usahawan baharu, 2014

Artikel Lain