suria

Kiraan 3 meter, satu lagi helah perokok!

Gambar hiasan. -fotoBERNAMA

MESKIPUN kebanyakan pengusaha dan pengunjung akur dengan larangan merokok di premis makanan, namun ada yang masih keliru tentang jarak tiga meter yang dibenarkan untuk mereka merokok.

Kekeliruan ini juga menyebabkan ada pengunjung yang mengikut kiraan sendiri meskipun jarak mereka merokok kurang dari jarak yang dibenarkan dan kelihatan masih hampir dengan tempat pengunjung lain yang sedang menikmati makanan masing-masing.

Penulis mendengar rungutan ini ketika meninjau beberapa premis makanan di sekitar Lembah Klang selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan larangan merokok di semua premis makanan.

Ia meliputi sama ada premis makanan berhawa dingin atau tidak termasuk di dalam dan luar bangunan kawasan kedai makan, restoran dan medan selera, bermula 1 Januari lepas.

Larangan merokok di tempat makan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 ini menyebut perokok hanya dibenarkan merokok di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka.

PELBAGAI RAGAM

Di sebuah gerai masakan Thai di Taman Melawati, Ulu Kelang, sambil menikmati nasi goreng, penulis bertanya kepada seorang pekerja medan selera di situ mengenai larangan merokok itu.

Memperkenalkan dirinya hanya sebagai Ina, dia berkata dari minggu pertama pelaksanaan peraturan itu mereka tidak berhadapan sebarang masalah kerana kebanyakan pengunjung yang merokok mengikut sahaja arahan.

Namun ada cerita menarik mengenai ragam perokok di medan selera itu sebaik sahaja larangan merokok memasuki awal minggu kedua.

"Paling saya tidak dapat lupa apabila menegur seorang pakcik yang merokok di mejanya. Saya cakap dengan baik kalau hendak merokok kena kira jarak tiga meter tetapi jawapan diberikannya sangat kelakar.

"Dia menyatakan sudah kira jarak tiga meter iaitu bermula dari dapur gerai saya sehingga ke tempat meja makannya. Itu sudah mencukupi jarak tiga meter sehingga membuatkan saya tergamam," katanya kepada saya membuatkan kami bersama-sama ketawa dengan ragam perokok berumur lingkungan 50 tahun itu.

Ceritanya lagi, ada pula perokok yang memenuhi ketagihan merokoknya di meja sudut paling tepi berdekatan dengan tempat letak motosikal di medan selera tersebut dan kemudiannya kembali ke tempat asal mereka menikmati selera sebelum itu.

"Bila ditegur, mereka mengatakan meja paling tepi itu sudah boleh dianggap memenuhi jarak tiga meter kerana dikira dari meja pertama berdekatan dengan gerai masakan Thai ini," katanya.

BINGUNG MENGIRA

Menurut Ina, dia serta beberapa pemilik gerai lain di medan selera berkenaan sebenarnya masih lagi keliru dan tidak memahami kaedah sebetulnya pengiraan jarak tiga meter itu.

Contoh, dari mana arah yang tepat untuk mengukur jarak tiga meter itu? Apatah lagi, apabila berhadapan dengan sesetengah perokok yang mempunyai pelbagai ragam dan taktik sehingga ada ketika membuatkan mereka bingung untuk mempertikaikan alasan yang diberikan golongan tersebut.

Malah, permasalahan ini turut diakui oleh seorang pembantu restoran mamak di Wangsa Maju yang hanya mahu dikenali sebagai Shafiq.

Katanya, ramai perokok yang menikmati selera di situ menanyakan perihal tiga meter selepas makan untuk mereka melepaskan ketagihan merokok namun dia tidak mempunyai jawapan tepat mengenainya.

"Ini yang buat saya pening. Biasanya kedai mamak macam kami akan letak meja makan di luar restoran sama ada di tepi jalan awam ataupun laluan pejalan kaki rumah kedai menjelang malam.

"Saya ada tanya pihak berkuasa kalau macam ini (meja makan di luar premis) bagaimana kira jarak tiga meter. Ada yang menyatakan kiraan itu bermula dari pintu restoran maksudnya mereka yang makan di luar bebas merokok kerana dah lebih tiga meter," katanya.

PERLU PENJELASAN

Sementara itu, seorang lagi pengunjung yang penulis temui, Zarina Abdullah berkata laporan media lebih banyak berkisar kepada usaha yang dibuat KKM yang turun padang untuk mempromosikan larangan merokok.

Usaha berkenaan termasuk menampal poster, mengedarkan risalah mengenainya, menjelaskan bahaya rokok kepada orang awam serta jumlah notis amaran yang telah dikeluarkan sejak peraturan ini dilaksanakan.

"Manakala jarak tiga meter pula, penerangannya lebih berbentuk lisan sahaja. Kami yang perokok ini pun keliru nak kira bagaimana kerana ada perokok yang mengira 10 kaki dengan langkahnya kecil sahaja.

"Jadi, jarak dia untuk merokok itu tidaklah jauh sangat dari tempat orang makan, sekali gus asap rokok itu masih lagi dapat dihidu oleh pelanggan lain," katanya.

Justeru, pekerja swasta ini merasakan terdapatnya keperluan KKM menghasilkan satu video khas mengenai lokasi merokok yang dibenarkan dari premis makanan dengan menunjukkan kaedah pengiraan yang sebetulnya.

Kandungan video itu juga sebolehnya perlulah meliputi pelbagai bentuk situasi operasi restoran, gerai mahupun warung kerana struktur susun atur yang berbeza sesebuah premis makanan boleh membuatkan masyarakat keliru mengenalpasti jarak berkenaan.

"Ia (kira jarak tiga meter) bukan susah tapi ada sesetengah keadaan restoran buat kami keliru. Akhirnya, ada perokok memilih untuk merokok di sebalik tembok yang berdekatan dengan meja makan di luar kerana merasakan ia sudah ok kerana asap tidak dihembus kepada pelanggan lain seperti sebelum ini," katanya.

TIDAK HIRAU DENDA

Selain kekeliruan tersebut, anak kepada pemilik sebuah restoran mamak di Setiawangsa yang dikenali sebagai Muhammad berkata ada juga perokok yang masih lagi merokok di meja makan kerana beranggapan denda dikenakan tidaklah banyak.

"Sejak ada kes pekerja restoran nasi kandar kena tampar, memang pekerja kami tidak berani tegur dan mereka biasanya akan suruh saya yang tegur.

"Bila saya bercakap dengan perokok terbabit, setakat ini semuanya akan patuh. Mereka sebenarnya tahu mengenai peraturan larangan itu tetapi tidak tahu mengenai akta, denda yang bakal dikenakan dan disebabkan itulah masih ada yang ambil remeh dan terus merokok di dalam restoran.

"Tetapi, apabila kita cakap secara elok dengan mereka mengenai akta dan denda yang akan dikenakan, mereka mula takut," katanya.

Menariknya, restoran ini bukan sahaja menampal tanda larangan merokok di setiap sudut bahkan juga hampir setiap meja turut dilekatkan poster kecil serta membuat satu banting khas mengenainya yang digantung berdekatan premis makanannya.

Bagaimanapun, Muhammad berkata poster larangan merokok yang ditampal itu sepatutnya mempunyai maklumat lengkap berserta akta dan denda yang bakal dikenakan.

"Saya silap kerana tak cetak maklumat berkaitan akta dan denda. Saya rasa maklumat berkenaan patut ada dalam poster selain talian hotline kementerian yang boleh dihubungi sekiranya pemilik restoran atau pengunjung berhadapan dengan perokok yang degil," katanya.

BERI AMARAN

Untuk enam bulan pertama pelaksanaan peraturan ini, KKM akan menggunakan pendekatan memberi amaran lisan dan pendidikan terlebih dahulu kepada perokok dan pemilik restoran yang ingkar sepanjang tempoh tersebut.

Selepas tamat tempoh itu, perokok yang ditahan di kawasan larangan akan didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Manakala, pemilik premis makanan yang tidak mempamer tanda larangan merokok boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, manakala bagi kesalahan gagal memastikan pelanggan tidak merokok akan didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih satu tahun.

Sejak larangan itu berkuatkuasa pada 1 Januari lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipetik berkata sebanyak 13,724 amaran bertulis dikeluarkan dan 75, 280 nasihat diberikan kepada individu sehingga 8 Januari.

Anggota penguatkuasaan KKM setakat 8 Jan juga telah melawat 30,548 tempat makan termasuk yang beroperasi 24 jam dan sebanyak 76,274 risalah juga telah diedar dalam usaha memberikan pendidikan dalam soal rokok.

"Dalam memastikan kejayaan program ini, kita tidak boleh mengharapkan pihak kementerian sahaja. Orang ramai, perokok dan pemilik restoran juga perlu bekerjasama dan saya selepas habis stok rokok ini tidak akan lagi jual rokok di restoran.

"Manakala, orang ramai juga boleh bertindak sebagai mata dan telinga dengan menghubungi pihak kementerian sekiranya masih ada ternampak perokok yang berdegil untuk bekerjasama," kata Muhammad. -Bernama

rokok, 3 meter, helah, akta, denda

Artikel Sebelum

Artikel Lain