suria

Tiada elemen militan dalam insiden di CityOne Mall

KUCHING: Kejadian letupan gas di CityOne Mall di sini pada Selasa tidak mempunyai unsur jenayah mahupun militan, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim.

Katanya setakat ini disahkan kejadian 3.30 petang itu menyebabkan tiga maut dan 44 cedera.

“Bagi tiga yang meninggal dunia, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Pihak hospital telah menjalankan bedah siasat ke atas mayat mereka dan laporan dua mangsa sudah selesai manakala satu lagi masih berjalan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian, Khamis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Khirudin Drahman berkata pihaknya membawa anjing pengesan ke tempat kejadian bagi memastikan tiada lagi mangsa tertimbus.

“Selain itu, kita juga telah mengambil sampel gas berkenaan untuk pemeriksaan di makmal bagi mengenal pasti punca letupan,” katanya.

Beliau turut berkata maklumat yang viral mendakwa ada keretakan pada dinding di tingkat atas kompleks beli-belah berkenaan selepas kejadian letupan itu adalah palsu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan negeri Dr Nor Halim Hasan pula berkata pihaknya akan melakukan siasatan bagi memastikan sama ada pihak terlibat mematuhi peraturan.--BERNAMA

Artikel Lain