Jiran dengar bunyi bising dari rumah suspek bunuh isteri - Semasa | mStar

Jiran dengar bunyi bising dari rumah suspek bunuh isteri

Suspek dibawa ke mahkamah majistret di George Town.

GEORGE TOWN: Seorang jiran kepada lelaki yang disyaki memukul isterinya berusia 39 tahun sehingga mati, terdengar bunyi bising dari kediaman pasangan itu pada Ahad.

Jiran tersebut yang enggan dikenali berkata, dia menyangka seseorang sedang cuba menghalau kucing terbiar.

"Ketika itu saya sedang tidur dan terdengar bunyi bising. Bunyinya seperti seseorang menggunakan tongkat untuk memukul pada objek keras.

"Saya sangka ia adalah jiran yang naik angin cuba menghalau kucing yang terbiar, dengan memukul menggunakan tongkat terhadap objek keras," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru tuisyen maut dipukul, polis tahan suami

Jiran berkenaan menggambarkan lelaki itu, yang merupakan guru sekolah menengah berusia 42 tahun, seorang mesra dan berbudi bahasa.

"Dia akan menyapa kami setiap kali dia melalui rumah kami.

"Ada sekali tu, ketika saya memerlukan bantuan untuk pergi ke klinik, dia meminta isterinya untuk menumpangkan saya walaupun sibuk dengan kerja.

"Saya terkejut apabila mengetahui kejadian yang berlaku," katanya.

Lelaki tersebut didakwa memukul isterinya di bahagian kepala berulang kali menggunakan objek keras di rumah sewa mereka di sebuah apartment di Ayer Itam, susulan pergaduhan pada kira-kira pukul 10 malam Ahad.

Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan meninggalkan apartment itu sejam kemudian untuk pulang ke rumah keluarga di Kulim, Kedah.

Dia kemudian mendapati isterinya, yang juga seorang guru tidak sedarkan diri, selepas pulang ke rumah pada kira-kira pukul 11 pagi Isnin.

Lelaki tersebut memaklumkan kepada salah seorang ahli keluarga, yang menasihatkannya untuk membuat laporan polis.

Dia kemudian tampil menyerah diri di balai polis.

Pasangan itu yang telah berkahwin selama 10 tahun tidak mempunyai anak.

Pada Selasa, dia dibawa ke mahkamah majistret di sini untuk direman, bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel