suria

30 persatuan perubatan sokong larangan merokok di tempat makan

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 persatuan perubatan menyatakan sokongan terhadap hasrat kerajaan untuk mewartakan tempat makan terbuka sebagai kawasan larangan merokok.

Antara persatuan berkenaan adalah Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Yayasan Paru-paru Malaysia, Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia, Persatuan Jantung Kebangsaan  Malaysia dan Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia.

Menerusi satu surat terbuka yang ditandangani oleh 30 persatuan perubatan itu,  mereka menyokong cadangan terbabit dengan tujuan untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok sekunder.

“Asap rokok mengandungi lebih daripada 7,000 bahan kimia, sesetengahnya merupakan bahan karsinogenik atau penyebab kanser.

“Pendedahan asap rokok menyebabkan kanser paru-paru dan risiko penyakit angin ahmar (stroke) kepada orang yang tidak merokok. Wanita dan kanak-kanak adalah mangsa utama kepada pendedahan asap rokok terutama di tempat awam,” menurut surat terbuka itu.

Di persidangan Dewan Negara baru-baru ini, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye telah mengemukakan cadangan untuk mengisytihar semua restoran dan tempat makan terbuka sebagai kawasan larangan merokok bermula Disember ini.

Beliau berkata kementerian berhasrat mewartakan cadangan itu di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.-Bernama

Larangan merokok, kedai makan

Artikel Lain