suria

Tun M Tak Dapat Kebenaran Jumpa Anwar

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa penjara tidak memberi kebenaran kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah hospital di sini, Rabu.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM) itu tiba di Hospital Rehabilitasi Cheras di sini di mana Anwar menerima rawatan, diiringi Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq pada pukul 4.15 petang.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menyambut ketibaan Dr Mahathir dan mereka kemudian bertemu dengan pegawai Jabatan Penjara, termasuklah Pengarah Penjara Sungai Buloh, untuk mendapatkan kebenaran melawat Anwar.

Kira-kira 35 minit kemudian, Dr Mahathir dan Nurul Izzah memberitahu pemberita bahawa pihak berkuasa telah menolak permintaan mereka untuk bertemu dengan Anwar.

Dr Mahathir yang nampak kecewa mendakwa pihak berkuasa penjara telah 'menerima arahan' untuk menghalangnya daripada melawat Anwar.

"Sebagai calon, saya kecewa kerana kita hidup dalam negara demokrasi tetapi saya tidak dibenarkan bertemu seorang rakan," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana bersetuju dengan pencalonannya sebagai perdana menteri.

"Anwar mempunyai sejarah yang panjang dengan saya, tidak mudah untuk mencapai persetujuan ini," katanya.

Menurut Nurul Izzah, Dr Mahathir telah merancang untuk melawat Anwar sejak beliau dimasukkan ke hospital pada November 2016 tetapi pertemuan itu ditangguhkan kerana masalah kesihatan dan jadual kerja Dr Mahathir yang padat.

Anwar dihantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras dari penjara Sungai Buloh untuk rawatan lanjutan, dua minggu selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur.

Nurul Izzah berkata pembedahan itu adalah pembedahan utama dan Jabatan Penjara membenarkan Anwar ditempatkan di hospital sehingga dia pulih sepenuhnya.

Perjumpaan terakhir Mahathir dengan Anwar adalah pada 5 September 2016, di mana kedua-duanya bertemu buat kali pertama dalam tempoh 18 tahun.

Anwar kini menjalani hukuman lima tahun di penjara Sungai Buloh atas kesalahan liwat dan dijadualkan dibebaskan pada 8 Jun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain