suria

Luar Jangkaan, Kedudukan MAS OK - Tiong Lai

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Tan Sri Dr K. Kenneth Eswaran dan isteri, Puan Sri Vivienne Eswaran menyambut Tiong Lai sempena sambutan perayaan Deepavali di Pusat Konvensyen GCH di Sentul pada Rabu.

KUALA LUMPUR: Keputusan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Peter Bellew menyertai semula Ryanair yang berpangkalan di Ireland, diluar jangkaan, namun ia tidak menjejaskan agenda transformasi syarikat penerbangan negara, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kementerian itu tidak menerima sebarang bentuk ‘bayangan' mengenai pemergian Bellew, dan masih menunggu laporan penuh daripada Malaysia Airlines.

“Ia (mengejutkan), sebab saya tidak mendapat sebarang bayangan. Oleh itu saya mahu butiran mengenainya terlebih dahulu kerana saya belum memperolehnya daripada Malaysia Airlines.

“Namun saya yakin transformasi Malaysia Airlines diteruskan, tanpa mengira siapa pun yang akan menjadi CEO atau COO (Ketua Pegawai Operasi), agenda transfomasi Malaysia Airlines akan diteruskan.

Kedudukan kita baik, kedudukan Malaysia Airlines ok,” katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Deepavali Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) di sini pada Rabu.

Semalam, Ryanair dalam satu kenyataan menyatakan Bellew akan menyertai semula syarikat penerbangan Ireland itu sebagai COO, mengambil alih tanggungjawab operasi penerbangan, darat dan kejuruteraan Ryanair.

Syarikat penerbangan itu berkata Bellew  secara khusus ditugaskan untuk memantau pembangunan juruterbang, melatih dan pembangunan kerjaya dengan misi untuk - ‘memastikan kegagalan jadual juruterbang yang dialami Ryanair pada awal September tidak berulang".

Bellew dalam satu kenyataan pada Rabu berkata walaupun beliau sukakan Malaysia Airlines, namun memutuskan untuk menyertai semula syarikat penerbangan Ireland itu kerana menganggapnya sebagai satu bentuk 'khidmat negara'.

“Jadi kenapa saya pergi? Negaraku. Cinta untuk negara menarik saya pulang ke Ireland. Saya terima panggilan daripada Ryanair lewat petang dua minggu lepas sebagai COO.

Ia merupakan syarikat terhebat Ireland.  Mereka perlukan bantuan saya, dan ia merupakan cabaran besar. Ia dalam bentuk khidmat negara,” kata Bellew. - Bernama

Malaysia Airlines, Peter Bellew

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

“Saya Cakap 'No' Saja!”

Artikel Lain