suria

Jenazah Mohd Hamizar Selamat Dikebumi Di Rembau

Jenazah Wartawan Berita Harian (BH), Mohd Hamizar Abd Hamid, 43, yang meninggal dunia akibat kemalangan motosikal, Jumaat malam dibawa keluar daripada Bilik Mayat Hospital Putrajaya, Sabtu. Jenazah dibawa ke Kg Chengkau Ulu, Rembau, Negeri Sembilan, untuk dikebumikan.

REMBAU: Jenazah wartawan Berita Harian (BH), Mohd Hamizar Abd Hamid yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Putrajaya Jumaat malam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kariah Chengkau Ulu di sini pada pukul 2.45 petang, Sabtu.

Jenazah Allahyarham tiba dari Hospital Putrajaya di rumah ibunya di Kampung Baru Chengkau Ulu pada pukul 12.45 tengah hari.

Jenazah kemudiannya disembahyangkan sekali lagi sebelum dikebumikan.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada anggota keluarga, saudara mara dan rakan beliau hadir di rumah keluarga beliau dan di tanah perkuburan.

Yang turut hadir ialah Eksekutif Editor Pengeluaran BH, Rosli Safar dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Mohd Hamizar, 43, disahkan meninggal di Hospital Putrajaya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Persiaran Barat, Jumaat malam.

Beliau dilapor patah tulang belikat dan rusuk serta pecah dan rosak organ dalamannya.

Ibu Allahyarham Minah A Ghani, 72, berkata kali terakhir beliau berjumpa anak ketiga dari empat beradik itu ialah pada 7 Jun lepas, ketika Allahyarham pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersamanya.

"Sejak kecil lagi, arwah memang suka menolong orang dan arwah juga seorang yang ceria. Sejak kematian ayahnya pada bulan Februari lepas, arwah lebih mengambil berat mengenai keadaan mak cik," katanya.

Mohd Hamizar meninggalkan isteri Norsuriaty Awang Hassim, 43, dan dua anak lelaki Aliff Haikal, 15, dan Iqbal Hamdi, 12.

Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan pada tahun 1999, sebelum berhenti pada 2010 dan menyambung semula kerjayanya pada tahun 2012.-- Bernama

Hamizar Hamid, Berita Harian, Rembau

Artikel Lain