suria

Pelajar Tingkatan Lima Hampir Putus Jari Mercun Meletup

Pelajar Tingkatan Lima yang hampir putus tiga jari kanannya dan cedera ringan di bahagian muka akibat terkena mercun bola, Jumaat, kini mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baru.

KOTA BARU: Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belimbing, Tanah Merah, hampir putus tiga jari kanannya dan cedera ringan di muka selepas mercun bola meletup di tangannya, Jumaat.

Ibu mangsa, Engku Aznah Engku Ismail, 45, berkata kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang ketika anaknya, Nik Rashidi Azman, 17, sedang bermain mercun di rumah rakannya.

"Pada mulanya saya tak percaya apabila anak keempat, Nik Riduan, 15, cakap abangnya terkena mercun dan cedera di tangan serta muka, namun saya reda selepas dihubungi Hospital Tanah Merah berhubung kejadian itu," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, Sabtu.

Engku Aznah berkata Nik Rashidi tidak memberitahunya mengenai kemalangan itu dan remaja itu dihantar rakan-rakannya ke Hospital Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata anak ketiganya itu kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pada kira-kira 8 malam tadi.

"Buat masa sekarang doktor hanya benarkan jarinya yang cedera itu dicuci sahaja. Doktor belum buat keputusan sama ada akan potong atau biarkan ia sembuh," katanya.-- Bernama

Artikel Lain