suria

"Saya Reda, Pasrah" - Ahmad Razif

PETALING JAYA: Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman mengakui reda dan pasrah anugerah kebesaran negeri yang dikurniakan kepadanya ditarik balik.

Malahan, dengan apa yang berlaku beliau bertekad untuk terus membuktikan taat setia kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Beliau juga berkata, kepentingan rakyat Terengganu akan terus menjadi keutamaan selagi masih memegang jawatan.

"Saya reda dan pasrah dengan apa yang berlaku dan amat memahami bahawa ini adalah hak mutlak Tuanku di dalam mengurniakan anugerah atau penarikan balik anugerah itu.

"Yang penting kita mesti mengambil iktibar dengan apa yang berlaku sebagai rakyat, pemimpin yang taat dan setia kepada raja dan negara," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar pada Isnin malam.

Sebelum itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu mengeluarkan kenyataan memaklumkan Sultan Mizan telah melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif, berkuat kuasa Jumaat, 22 April.




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain