suria

Shahnaz Fail Rayuan Balas Tuntut Mutaah RM100 Juta

KUALA LUMPUR: Bekas isteri anak kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Tun Abdul Taib, memfailkan notis rayuan balas memohon jumlah mutaah RM30 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah ditambah kepada RM100 juta.

Shahnaz Abdul Majid, 53, memfailkan notis tersebut di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, Isnin melalui peguamnya Dr Mohd Rafie Mohd Shafie.

Dalam notis tersebut, Shahnaz, selaku responden, berkata beliau tidak berpuas hati terhadap jumlah RM30 juta itu yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Muhamad Abdul Karim Wahab dan memohon jumlah tersebut ditambah kepada RM100 juta. 

Pada 10 Mac lepas, Muhamad Abdul Karim dalam keputusannya juga memerintahkan Mahmud Abu Bekir, 53, membayar jumlah mutaah itu secara ansuran selama tiga bulan bermula 31 Mac ini. 

Pada 9 Jun 2011, Shahnaz, kakak kepada ratu jaz negara Datuk Sheila Majid, menfailkan tuntutan mutaah sebanyak RM100 juta daripada bekas suaminya itu.Mohd Rafie sebelum ini berkata bahawa jumlah RM30 juta yang diputuskan oleh mahkamah itu adalah jumlah yang tertinggi dalam kes tuntutan mutaah setakat ini.

Mahkamah itu juga menetapkan Jumaat ini untuk mendengar permohonan penggantungan sementara terhadap keputusan pembayaran tuntutan mutaah tersebut yang difailkan Mahmud Abu Bekir. 

Pasangan itu berkahwin pada 9 Jan 1992, dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 23, namun pada pada 11 Mei 2011 mereka bercerai dengan talak satu. -- Bernama


Artikel Lain