suria

MH370: Tempoh Pencarian Tidak Akan Dilanjut - JACC

Kapal GO Phoenix akan menamatkan operasi dan pulang ke Singapura akhir Jun ini.

SYDNEY: Pencarian dalam air pesawat Penerbangan Malaysia (MAS)  MH370 tidak akan dilanjutkan berikutan tiada penemuan baharu yang kukuh diperoleh, menurut pihak berkuasa Australia pada Rabu.

Pada April, selepas lebih setahun pesawat itu hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang yang majoritinya warga China.

Susulan itu, Malaysia, Australia dan China mengumumkan zon pencarian diperluaskan sekali ganda hingga meliputi selatan Lautan Hindi dengan keluasan 120,000 kilometer persegi.

Bagaimanapun pencarian di kawasan itu tidak akan dilanjutkan lagi, kata Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia yang memaklumkan perkembangan terkini usaha yang dilakukan pihaknya.

"Tanpa penemuan baharu yang kukuh bagi mengenal pasti lokasi khusus pesawat itu, kerajaan bersetuju untuk tidak melanjutkan pencarian di kawasan berkenaan," kata pihak yang menyelia operasi itu.

Pencarian pesawat yang hilang sejak 8 Mac tahun lalu itu semakin kompleks di mana pihak Australia pada mulanya memberi tumpuan kepada kawasan seluas 60,000 kilometer persegi di barat lautan itu.

Zon berkenaan ditetapkan selepas menganalisa data dan isyarat satelit yang menunjukkan pesawat itu mungkin terhempas di Lautan Hindi selepas mengubah haluan dan hingga kini ia kekal misteri.

Lebih 50 kilometer persegi dasar laut telah diterokasi setakat ini dan tiada sebarang kesan pesawat berkenaan, kata JACC sambil menambah perubahan cuaca menyukarkan pihaknya untuk menjalankan operasi.

Pencapaian dasar laut menggunakan peralatan sonar juga dihentikan kerana arus deras serta ombak mencecah 12 meter walaupun kapal yang menjalankan operasi kekal di lokasi.

Ia akan meneruskan pencarian apabila cuaca bertambah baik, bagaimanapun kapal GO Phoenix akan menamatkan operasi dan pulang ke Singapura pada akhir Jun ini.

Sebelum ini, empat kapal terbabit dalam operasi pencarian MH370 termasuk Fugro Supporter yang khidmatnya dihentikan pada Mei kerana keadaan cuaca buruk.


JACC, MH370, Beijing

Artikel Lain