suria

TLDM Kenal Pasti Anggota Terlibat IS Menerusi Media Sosial

Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar (kiri) memeriksa kawalan kehormat dalam Istiadat Perbarisan dan Mengarak Panji-Panji sempena Sambutan Hari TLDM ke-81 di Padang Kawad, KD Pelandok di Lumut, Isnin. Foto BERNAMA

LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah mengenal pasti beberapa anggotanya yang dipercayai terlibat dengan kumpulan militan IS menerusi media sosial.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melakukan siasatan terperinci berhubung perkara itu.

"Kita telah menarik mereka untuk disoal siasat dan mendapat bantuan daripada polis untuk melaksanakan siasatan terperinci. Kita juga dimaklumkan pihak polis bahawa hasil siasatan mereka terhadap kumpulan itu ada mengaitkan anggota TLDM.

"Dalam hal ini, kita merelakan mereka (anggota TLDM) untuk disoal siasat dengan harapan kegiatan IS ini dapat dihapuskan secara keseluruhan. 

"Kita selalu mengingatkan anggota kita pada setiap kali khutbah (Jumaat), ceramah dan perjumpaan bahawa kumpulan IS ini adalah ancaman kepada negara," katanya.

Abdul Aziz berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Istiadat Perbarisan dan Mengarak Panji-Panji bersempena Sambutan Hari TLDM ke-81 di Padang Kawad, KD Pelandok di sini, Isnin.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Panglima Armada Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli dan Panglima Bantuan Laksamana Madya Datuk Abdul Ghani Othman.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata, pihaknya menubuhkan Pusat Asuhan Kanak-Kanak yang pertama dalam Pangkalan TLDM dan ia bakal diperluas ke beberapa pangkalan lain dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pusat itu dibina bagi membantu anggota TLDM menangani masalah penjagaan anak, terutama ketika bertugas.

"Kita ambil maklum keperluan pusat asuhan dalam pangkalan, yang boleh memberi keselesaan dan keselamatan, dapat membantu mengurangkan tekanan kepada keluarga yang mempunyai isteri atau suami yang bekerja dan dengan fasiliti seperti yang ada di pusat asuhan tersebut, anggota boleh memberi penumpuan yang lebih mendalam kepada kerja masing-masing," katanya.

Beliau juga berkata, pusat asuhan bekenaan akan dibina di Markas Wilayah Laut 1, Tanjung Gelang, Pahang dan Markas Wilayah Laut 2, Kota Kinabalu, Sabah pada tahun ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya turut menaik taraf beberapa fasiliti di Pangkalan TLDM Lumut selain mewujudkan Kelab Rekreasi TLDM dan pusat gimnasium bagi menyediakan kemudahan secukupnya kepada anggota, terutama dari aspek sukan.

"Kita mahu menyediakan fasiliti secukupnya kepada warga TLDM, apatah lagi Pangkalan Lumut ini menampung kira-kira 25,000 penduduk.

"Kemudahan asasi ini disediakan mengikut peredaran masa dan keperluan teknikal terkini yang boleh dianggap kontemporari supaya warga TLDM merasakan bahawa mereka dalam perkhidmatan bertaraf dunia," katanya.

TLDM, IS

Artikel Sebelum

Artikel Lain