suria

PKR Janji Tak Abai Pengundi DUN Kajang

Dr Wan Azizah Wan Ismail

BUKIT MERTAJAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) beri jaminan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak akan diabaikan jika calonnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh, 7 Mei ini.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, DUN Kajang berada di bawah penguasaan kerajaan negeri pimpinan PKR dan tentunya Dr Wan Azizah selaku Presiden PKR akan mendapat sokongan untuk menguruskan kawasan tersebut.

"Sekarang ini kita tahu dalam beberapa tahun Kak Wan (Dr Wan Azizah) menjadi wakil rakyat Kajang, beliau masih boleh beri perkhidmatan baik, malah rekod juga kita ada.

"DUN Kajang di bawah kerajaan Selangor, berkeupayaan untuk menjaga, membina dan terus bangunkan Kajang. Bukan tak ada pemimpin yang ada dua kawasan (DUN dan Parlimen) yang berbeza,” katanya pada sidang media di Yayasan Aman di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian berhubung persoalan mengenai keupayaan Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR menguruskan dua kawasan yang terletak di Selangor dan Pulau Pinang jika menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Dr Wan Azizah mewakili DUN Kajang selepas menang dalam PRK di kawasan tersebut pada 23 Mac tahun lalu menerusi ‘Langkah Kajang’ yang dicipta PKR.

Pada PRK yang akan diadakan pada 7 Mei ini, Dr Wan Azizah berhadapan saingan empat penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin, Azman Shah Othman dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon Bebas, Salleh Isahak.

Artikel Lain