suria

Malaysia Ketengah Suara Asean Di Pentas Antarabangsa

PUTRAJAYA: Malaysia akan berperanan melontarkan mesej-mesej yang dekat di hati ASEAN di pentas antarabangsa selaras dengan kedudukan negara selaku pengerusi ASEAN 2015 selain menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi contoh bahawa atas kapasiti selaku pengerusi pertubuhan merangkumi 10 negara Asia Tenggara itu, Malaysia telah dijemput menghadiri Persidangan G20 di Turki tahun ini.

"Maknanya apabila kuasa-kuasa besar berkumpul dan bersidang nanti, ASEAN akan diwakili melalui penyertaan Malaysia," katanya sambil menegaskan suara ASEAN akan turut dibawa dalam penyertaannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu nanti.

"Dan kalau ada forum-forum lain juga, saya boleh ketengahkan mesej-mesej ASEAN ke dunia luar," kata Najib dalam temu bual dengan Bernama di sini menjelang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 pada 26 dan 27 April.

G20 merangkumi 19 negara maju dan sedang membangun iaitu Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, Turki, United Kingdom dan Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah.

Selain itu, Najib berkata ASEAN sememangnya mempunyai pengaruh di persada antarabangsa seperti yang dilihat melalui penganjuran Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

"EAS merupakan satu bentuk kerangka serantau yang disambut baik oleh kuasa-kuasa besar melalui pembabitan China, Amerika Syarikat, Rusia, Jepun, Korea Selatan, India serta Australia dan New Zealand selain 10 anggota ASEAN," kata Najib.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa negara-negara berkenaan menerima hakikat pemusatan ASEAN dalam menerajui EAS.

"Jadi ASEAN menjadi badan penggerak kepada kerangka serantau EAS ini dan mereka menghormati peranan yang dimainkan ASEAN," kata Najib.

Menurut Najib, ASEAN secara umumnya merupakan sebuah rantau yang aman dan stabil di sebalik usaha ke arah damai yang masih berlangsung untuk beberapa kawasan tertentu dengan Malaysia berperanan sebagai fasilitator.

ASEAN merangkumi Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Asean, PBB, G20

Artikel Sebelum

Artikel Lain