suria

Asean Mampu Tangani Ancaman IS - Hishammuddin

Hishammuddin dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama alumni pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada majlis perasmian Makmal Tranformasi PLKN di Putrajaya, Jumaat.

PUTRAJAYA: Asean sebagai sebuah blok mampu menangani ancaman kumpulan militan Negara Islam (IS), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, semua 10 negara anggota Asean dijangka menyatakan pendirian bersama berhubung ancaman kumpulan militan itu pada pertemuan menteri-menteri pertahanan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 pada 15 Mac depan.

"Ancaman IS berbeza dengan keganasan yang terpaksa kita lalui dahulu berhubung kait dengan Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah dan ini fenomena baharu yang terpaksa kita hadapi tetapi ia tidak unik kepada Malaysia.

"Sebagai rantau yang telah diuji dengan pelbagai tragedi seperti kehilangan pesawat dan pertikaian di Laut China Selatan, ancaman IS boleh dihadapi bersama melalui perkongsian maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sesi perbincangan Makmal Tranformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sini, Jumaat.

Hishammuddin berkata, buat masa ini, Asean adalah rantau yang secara relatifnya masih belum disentuh oleh IS.

Menurutnya Malaysia mempunyai kelebihan berikutan hubungan diplomatik yang baik dengan Amerika Syarikat, China dan negara-negara di Eropah.

"Perkongsian maklumat secara risikan adalah kaedah terbaik dan saya mengesahkan tiada mana-mana pihak yang boleh menyatakan hari ini bahawa mereka tahu formula terbaik untuk berhadapan dengan IS," katanya.

Asean dianggotai Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam.

IS, Hishammuddin Hussein, Al-Qaeda, Asean

Artikel Sebelum

Artikel Lain