suria

Geng Lima Pagi Didalangi Remaja 17 Tahun Tumpas

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong menunjukkan pisau yang dirampas dengan tertangkapnya enam lelaki yang dikenali sebagai 'Geng 5 pagi' yang aktif menyamun kafe siber semasa sidang media di Balai Polis Pasir Puteh, Ipoh, Isnin. -fotoBERNAMA
IPOH: Sekumpulan remaja lelaki dikenali sebagai 'Geng Lima Pagi' yang aktif melakukan kegiatan samun sejak dua bulan lalu di sekitar Tambun dan Bercham, di sini, tumpas apabila pihak polis berjaya menahan enam anggota kumpulan terbabit di lima lokasi berlainan, baru-baru ini. 

Ketua Polis Daerah Ipoh ASP Sum Chang Keong berkata hasil tangkapan seorang suspek yang merupakan dalang kepada geng terbabit pada 21 November lalu di Bandar Baru Putra, Tanjung Rambutan, telah membawa kepada penahanan lima lagi anggota. 
 
"Kami telah menahan lima lagi anggota geng terbabit dalam serbuan di empat buah rumah berasingan di sekitar Tanjung Rambutan dan Tambun," katanya kepada pemberita pada sidang media di Balai Polis Pasir Puteh di sini, Isnin. 

Beliau berkata, hasil serbuan itu polis telah merampas pelbagai jenis barang antaranya sebuah tablet jenama Trinity, sebuah power bank jenama Lenovo, sebilah pisau, sebuah telefon bimbit masing-masing jenama Nokia, Samsung Grand dan IPhone, sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam dan sebuah dompet. 

Beliau berkata geng terbabit aktif menyamun sekitar awal pagi dan menyasarkan siber kafe di sekitar Tambun dan Bercham sebagai lokasi tumpuan untuk menyamun. 

 "Mereka menggunakan pisau untuk mengugut mangsa dan bergerak secara berkumpulan untuk menyamun," katanya. 

Chang Keong berkata kesemua suspek berumur antara 15 hingga 21 tahun ditahan selama tujuh hari bermula 22 November hingga 28 November ini sebelum disambung reman bagi membantu siasatan, katanya. 
 
"Setakat ini mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan sehingga kini sebanyak tujuh kes yang direkodkan membabitkan geng itu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan samun berkumpulan, katanya

Artikel Lain