suria

Kerajaan Negeri Kedah Terima Laporan Dakwaan Kes Bakar Al-Quran

Mukhriz Tun Dr Mahathir

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah telah menerimalaporan lengkap berhubung kejadian cebisan Al-Quran yang didakwa dibakar di dalam tong di sebuah medan selera berhampiran sebuah pasar di sini, Khamis lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata siasatan polis mendapati cebisan Al-Quran itu tidak dibakar, sebaliknya dikoyak oleh seorang lelaki tidak siuman dan dia kini ditahan di Wad Psikiatrik, Hospital Sultanah Bahiyah.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga telah menerima laporan berhubung tindakan beberapa individu mencederakan seorang lelaki yang dipercayai membakar gerai-gerai medan selera di lokasi sama (pasar besar) Sabtu lepas. 

"Saya kesal dengan tindakan liar tiga individu yang tanpa usul periksa telah mencederakan seorang lelaki lain dan saya telah mengarahkan Majlis Bandaraya Alor Setar supaya memperbaiki segera gerai-gerai yang rosak akibat perbuatan liar individu-individu berkenaan," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Beliau berkata pihak pejabat Penasihat Undang-undang negeri juga telah menyediakan dua kertas siasatan berhubung dengan dakwaan kejadian koyak Al-Quran dan kes memukul orang awam untuk diserahkan kepada Peguam Negara.

"Saya berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin mengenai kejadian tersebut sehingga bertindak di luar batasan undang-undang," katanya.

Khamis lepas, polis menahan seorang lelaki di sebuah pasar raya di Mergong di sini berhubung penemuan beberapa cebisan helaian Al-Quran dipercayai dibakar di sebuah pasar besar, manakala pada Sabtu enam buah gerai makan di lokasi sama terbakar.

kerajaan kedah

Artikel Berikut

Artikel Lain