suria

Pegawai Pentadbiran Didakwa Ugut, Lakukan Khianat Terhadap Pesara

PETALING JAYA: Seorang pegawai pentadbiran sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis terhadap dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan khianat dengan menghentak bonet kereta milik seorang pesara menggunakan pengunci steering.

Bagi pertuduhan pertama, Ridwan Rahmat, 32, didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Chin Saw Thon, 67, dengan niat menyebabkan pesara itu merasa cemas.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Persiaran Tujuan, Subang Perdana, USJ 8, Goodyear Court 5, Subang Jaya, di sini pada 2.30 petang 15 November lepas.

Dia didakwa mengikut Seskyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ridwan didakwa melakukan khianat dengan menghentak bonet dan cermin sebelah kanan pada bahagian hadapan kereta Mercedes Benz milik pesara itu dengan menggunakan pengunci steering.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya menawarkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, ketika mahkamah meminta peguam Zainal Abidin mengemukakan rayuan, peguam itu memberitahu bahawa mangsa yang juga pengadu hadir di mahkamah untuk menarik balik laporan berhubung kes itu terhadap anak guamnya.

"Pengadu hadir ke mahkamah hari ini untuk menarik semula laporan yang dibuat atas alasan wujud penyelesaian damai antara mereka dan anak guam saya turut memohon maaf terhadap mangsa," katanya kepada mahkamah.

Namun, pihak pendakwaan membantah atas alasan walaupun wujud penyelesaian damai, tetapi perkara itu bukan di bawah bidang kuasa mahkamah.

Majistret Salamiah Salleh menasihati pihak pembelaan supaya mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk membatalkan pertuduhan itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 bagi kedua-dua kes dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Dis ini untuk keputusan berhubung representasi itu. 
Ridwan membayar jaminan itu.
ugut, khianat, Ridwan Rahmat

Artikel Sebelum

Artikel Lain