suria

Pemilihan PKR: Keahlian Nasharudin Gugur?

PETALING JAYA: Hanya selepas beberapa jam Ahli Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ampang, Nasharudin Md Isa memfailkan saman bagi mencabar keputusan pemilihan parti, beliau menerima kecaman termasuk gesaan supaya keahliannya dilucutkan.

Gesaan itu muncul daripada Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor, Najwan Halimi yang mendakwa keanggotaan Nasharudin gugur secara automatik kerana membawa isu berkaitan parti ke mahkamah.

Katanya tindakan Nasharudin bertentangan dengan Fasal 44.1 Perlembagaan PKR yang menyebut bahawa tiada seorang anggota boleh membawa hal parti ke mahkamah dan sekiranya berbuat demikian, maka keanggotaannya tergugur secara automatik.

"AMK Selangor mengecam tindakan Nasharudin. Justeru kami berpendapat keanggotaan Nasharudin telah gugur secara otomatik dan beliau kini bukan lagi anggota PKR," katanya pada Jumaat.

Terdahulu, Nasharudin memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mencabar keputusan pemilihan PKR Cabang Ampang.

Nasharudin menamakan tiga defendan iaitu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Johari Abdul; JPP dan Ketua Cabang Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Mengulas lanjut Najwan turut menggesa Jawatankuasa Disiplin PKR menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti anggota parti yang menjadi dalang di sebalik tindakan Nasharudin.

"Kita mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka yang terlibat," katanya.

Sementara itu Nasharuddin ketika dihubungi mStar Online menegaskan beliau sedar berhubung tindakan yang bakal dikenakan terhadapnya selepas memilih untuk menggunakan saluran mahkamah bagi menuntut keadilan dari partinya sendiri.

Malah, beliau sedia dipecat daripada PKR jika didapati bersalah.

"Saya dah tahu, malah saya jangka sedikit masa lagi saya akan dipecat daripada PKR.

"Tapi saya tak kisah kerana tindakan saya ini adalah untuk menuntut keadilan," katanya sambil menegaskan bahawa tindakannya itu tidak didorong oleh mana-mana pihak.

Artikel Lain