suria

Baucar BB1M: 20 Peratus Untuk Barang Bukan Akademik Dimansuh Mulai Khamis

KUALA LUMPUR: Penggunaan 20 peratus Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) untuk membeli barangan selain buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah akan dimansuhkan, mulai Khamis ini.

Kenyataan Kementerian Pendidikan pada Selasa memaklumkan, ia dilaksanakan selepas kementerian itu menerima aduan berhubung penyalahgunaan BB1M untuk pembelian barang bukan akademik.

"Kementerian telah memperkemas garis panduan pemberian BB1M yang berkuat kuasa 1 Mei ini. BB1M hanya untuk pembelian buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah sahaja.

"Kelonggaran yang membolehkan mahasiswa menggunakan 20 peratus daripada nilai baucar yang tidak dapat dihabiskan untuk membeli barang lain selain buku adalah dimansuhkan," menurut kenyataan itu.

Kerajaan memperkenal BB1M sejak 2012 bertujuan meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian dan memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.

Setakat ini, pemberian BB1M dimanfaatkan lebih 3.9 juta mahasiswa pra universiti dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) warga Malaysia dengan peruntukan berjumlah RM890 juta.

Bagaimanapun, kementerian itu menerima aduan penyalahgunaan BB1M yang semakin serius apabila penerima menggunakannya untuk membeli barang lain seperti tudung, pakaian dan cermin mata, malahan baucar itu juga diterima untuk pembelian barang buka akademik terutama di pelbagai pameran.

Kementerian memandang serius penyalahgunaan itu dan akan menyenaraihitamkan pekedai buku yang didapati bersalah menyalahgunakan BB1M.

"Mereka (pekedai buku) juga tidak dibenarkan menyertai program BB1M selama tiga tahun berturut-turut," katanya.

Jelas kementerian itu, peraturan baharu berkenaan merupakan tambahan kepada peraturan sedia ada iaitu tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan ke atas pihak yang menyalahgunakan BB1M.

Maklumat lanjut mengenai pindaan garis panduan boleh didapati melalui portal rasmi kementerian www.moe.gov.my dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada urus setia BB1M melalui e-mel bb1m.

Artikel Lain