suria

Bersih 3.0: Anggota Parlimen Batu, Tian Chua Diarah Bela Diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin memerintahkan anggota Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau dikenali sebagai Tian Chua membela diri atas pertuduhan tidak mematuhi perintah polis supaya beredar dari kawasan larangan di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol), sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0.

Hakim Mahmud Abdullah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Chua, di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan dua hari perbicaraan mulai 29 Nov bagi prosiding bela diri.

Chua, 49, didakwa melanggar perintah yang dikeluarkan Deputi Supritendan A. Rajakopal untuk beredar dari kawasan Pulapol yang diisytiharkan sebagai suatu kawasan larangan mengikut perintah kawasan-kawasan larangan 1975.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Nasional didakwa melakukan kesalahan itu di Pulapol, Jalan Semarak pada 2.30 pagi, 29 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar dan Amirah Mohamed Yusoff, manakala tertuduh diwakili peguam Latheefa Koya. - BERNAMA

Artikel Lain