suria

Mubarak Bantu BN Di Kawasan Menang Dan Kalah Tipis

PUTRAJAYA: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) akan membantu Barisan Nasional (BN) dengan memainkan peranan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya atau kalah tipis pada pilihan raya umum lalu. Presiden Mubarak Datuk Seri Abdul Aziz Rahman berkata pihaknya tidak akan memainkan peranan di seluruh kawasan pilihan raya tetapi akan memberi tumpuan kepada kawasan sedemikian.

"Di kawasan-kawasan pilihan raya baik Parlimen mahupun DUN, yang menang sikit dan kalah sikit. Kita tidak boleh memainkan peranan di seluruh kawasan pilihan raya, sebanyak 222 Parlimen, kerana faktor tenaga dan kewangan. "Kita hanya mampu menumpukan kepada kawasan di mana menangnya tipis dan kalahnya tipis," katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis perjumpaan ahli-ahli Mubarak bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di Seri Perdana di sini, Khamis. Turut hadir Timbalan Presiden Mubarak Tan Sri Ahmad Nordin Md Amin dan Ketua Penerangan Mubarak yang juga Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman.

Abdul Aziz berkata langkah Perdana Menteri mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) buat pertama kali selepas insiden Bersih 2.0 baru-baru ini mendapat sanjungan daripada mereka yang hadir.

Katanya, langkah itu memecahkan sempadan antara pengundi dengan parti politik. "Ini amat penting untuk menanam kesedaran di kalangan pengundi bukan sahaja ahli Umno dan BN, tetapi juga pengundi lain," katanya.

Beliau berkata metodologi Mubarak ialah untuk mendekatkan diri dengan NGO bagi menentukan kemenangan yang lebih cemerlang kepada parti pada pilihan raya umum akan datang.

"Inilah kertas kerja yang akan kita persembahkan yang akan menerangkan kawasan mana, bagaimana, berapa keperluan kewangan dan tenaga yang diperlukan untuk bekerjasama bagi menentukan kemenangan parti," katanya.

Abdul Aziz juga berkata Mubarak memerlukan inspirasi daripada pucuk pimpinan terutama sekali pada masa ini apabila landskap sosial politik yang berubah begitu besar bukan sahaja dalam negara tetapi juga di seluruh dunia.

Katanya selepas Najib menerajui kepimpinan negara, beliau telah menggubal dasar transformasi untuk mengekalkan negara terus cemerlang tahap demi tahap sehingga tahun 2020.

Beliau berkata ini merupakan peluang dan cabaran kepada Mubarak yang pada masa ini mempunyai ahli seramai 720 anggota di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut