Lelaki Maut Disambar Petir - Semasa | mStar

Lelaki Maut Disambar Petir

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki maut manakala dua rakannya terselamat apabila mereka disambar petir di Puteri Harbour, Nusajaya pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa Mat Desa Hashim, 52, dan rakannya Hamidun Mohamed, 31, serta Tarmizi Jailani, 50, sedang bersiap-siap untuk turun ke laut menjala udang.

Menurut Hamidun, mereka bertiga keluar ke laut kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki bot fiber milik mangsa.

"Ketika menjala udang kira-kira sejam hujan turut dengan lebatnya dan kami terus berteduh di rumah rakit berhampiran tempat kami menjala.

"Setelah hujan reda kira-kira pukul 12.30 tengah hari, kami ke laut semula dan ketika sibuk menyiapkan kelengkapan untuk memancing kami terdengar dentuman kuat beserta cahaya petir," katanya ketika ditemui di kediaman Mat Desa di Taman Nusa Perintis.

Hamidun, operator Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) berkata, akibat sambaran petir itu Mat Desa yang bekerja sebagai nelayan tercampak ke dalam air manakala Tarmizi terduduk di dalam bot.

Hamidun berkata, melihat rakannya itu tercampak ke dalam air, beliau terjun untuk menariknya semula ke dalam bot.

Namun bila melihat rakannya itu tidak bergerak, beliau memeriksa nadi mangsa dan mendapati tiada denyutan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Nusajaya, Deputi Superitendan Razak Md Said, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulaijaya untuk bedah siasat sebelum disembahyang dan dikebumikan di Taman Nusa Perintis.

Mangsa meninggalkan seorang isteri, Fauziah Yahya, 49, dan dua anak lelaki, Mohd Amirul, 15, dan Mohd Ashraf, 10 tahun. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Lelaki Ditemui Mati Dengan Kesan Tembakan

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain