Lapan Pelajar Malaysia Terbabit Kemalangan Di Melbourne Selamat - Semasa | mStar

Lapan Pelajar Malaysia Terbabit Kemalangan Di Melbourne Selamat

KUALA LUMPUR: Lapan pelajar Malaysia yang terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Bass, dekat Melbourne, Australia Khamis lepas dilaporkan selamat.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini Sabtu berkata empat daripada sedang menerima rawatan di sebuah hospital di sana, dan empat lagi yang cedera ringan telah dibenarkan pulang.

"Hanya seorang daripada lapan pelajar itu adalah penuntut di Australia iaitu di Business Monash University, Caufield, manakala empat dari University College Dublin, Ireland, dua dari Monash Sunway Malaysia dan satu dari Taylors College, Malaysia," menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, kemalangan itu berlaku pada pukul 7 malam waktu tempatan Khamis lepas apabila van yang dinaiki pelajar-pelajar tersebut yang sedang dalam perjalanan pulang ke Clayton, Victoria dari Philip Island terbabas dan masuk ke dalam longkang di lebuh raya itu.

Menurut laporan Bernama semalam, mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu ialah Aisyah Fadhillah Mahmud Azmi, Syafiq Hilimi, Iffat Farain Abdul Halim, Mohd Fitry Mahayuddin, Muhammad Rashidul Amin, Helmi Mohd Samat Hani, Wan Hafizunazrin dan Aisyah Mardiah Mahmud Azmi.

Van itu dilaporkan dipandu oleh Rashidul Amin.

Mangsa yang tercedera, Aisyah Fadhillah dirawat di Alfred Hospital, manakala Syafiq, Iffat Farain dan Mohd Fitry dimasukkan ke Pusat Perubatan Monash, Clayton.

Empat lagi mangsa Muhammad Rashidul, Helmi, Wan Hafizunazrin dan Aisyah Mardiah diberi rawatan semalaman di Hospital Dandenong sebelum dibenarkan keluar Jumaat.

Menurut Wisma Putra pegawai pejabat Konsulat Jeneral Malaysia yang baru dibuka di Melbourne telah melawat pelajar-pelajar terbabit dan telah menghubungi keluarga pelajar terbabit bagi memaklumkan perkembangan mereka yang terbabit dari semasa ke semasa, selain menghulurkan bantuan yang diperlukan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain