suria

Rakyat Diingat Tolak Cubaan Libatkan Sultan Dalam Sebarang Isu

ALOR SETAR: Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini bertitah meminta supaya rakyat negeri ini sentiasa berwaspada dan menolak sebarang percubaan pihak tertentu untuk melibatkan baginda dalam apa-apa isu berbangkit.

Baginda sebaliknya mengingatkan rakyat agar terus memelihara suasana aman damai dan menumpukan kepada usaha meningkatkan taraf hidup tanpa berasa bimbang mengenai ancaman atau gangguan ke atas keselamatan masing-masing.

"Peristiwa yang berlaku di beberapa tempat lain akan menyebabkan timbulnya perpecahan di kalangan rakyat kerana kadangkala permainan politik tidak mengambil kira ketenteraman awam dan kecetusan huru-hara.

"Beta yakin ikatan perpaduan yang erat di kalangan penduduk berbilang kaum dapat menjadi benteng untuk memelihara keamanan dan usaha kerajaan beta untuk terus mengeratkan perpaduan hendaklah disokong sepenuhnya," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-darjah serta Bintang-bintang Kebesaran sempena ulang tahun ke-83 keputeraan baginda di Istana Anak Bukit, di sini.

Dalam perkembangan lain, Tuanku Abdul Halim bertitah keyakinan pelabur dan masyarakat perniagaan kepada Kedah terus kukuh dengan kemasukan pelabur asing dan tempatan bagi memajukan sektor pembuatan yang menjadi bukti tahap keyakinan yang tinggi kepada negeri ini.

"Kerajaan beta telah memberi perhatian khas bagi mempercepat dan membantu para pelabur menjayakan projek masing-masing dan beta berharap inisiatif seperti ini dapat mempercepatkan kelulusan dan melancarkan segala urusan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan," titah baginda.

Baginda turut mengingatkan agar kerenah birokrasi yang sering dikaitkan dengan kelewatan menyiapkan sesuatu projek pembangunan yang memberi faedah kepada rakyat di negeri ini diatasi segera.

Titah baginda kaedah lima bintang yang dikejarkan tidak akan memberi makna jika perubahan sikap dan minda tidak berlaku dalam proses pentadbiran serta pengurusan dengan pelabur dan pedagang. BERNAMA