suria

Abdul Khalid Anggap Komplot Mahu Gulingkannya Hanya Spekulasi

KUALA SELANGOR: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan dakwaan bahawa wujudnya sekumpulan 15 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu menyingkirkan beliau hanya satu spekulasi.

Menurutnya, hingga kini beliau tidak menerima apa-apa memorandum atau surat bantahan daripada mana-mana pihak yang menggesa supaya beliau berundur.

"Saya tak terima apa-apa memorandum daripada mereka," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan surat hak milik tanah di Kampung Sungai Yu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan media hari ini yang mendakwa bahawa terdapat sekumpulan 15 Ahli Parlimen parti itu telah bersatu untuk menyingkirkannya sebagai Menteri Besar Selangor.

Ditanya sekiranya ada pihak yang akan menghantar memorandum kepadanya bagi mendesak agar beliau melepaskan jawatannya, Abdul Khalid berkata: "Saya akan terima dan baca."

Isu wujudnya perbalahan di Selangor kembali timbul apabila Naib Presiden PKR, Azmin Ali bertindak melepaskan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada Rabu lalu.

Dilaporkan antara sebab Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak mengumumkan pengundurannya daripada PKNS kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan Abdul Khalid yang tidak merujuk kepada kepimpinan tertinggi PKR.

Diakatakan juga beliau turut tidak berpuas hati dengan keputusan Abdul Khalid melantik Faekah Husin sebagai Setiausaha Politiknya bagi menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Artikel Sebelum

Artikel Lain