suria

Wartawan BERNAMA Rangkul Hadiah Kajai, Rencana Cemerlang Hadiah MPI-Petronas

KUALA LUMPUR: Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Melati Mohd Ariff dinobat sebagai pemenang Anugerah Kajai, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas, di sini malam tadi.

Melati berjaya menarik perhatian panel hakim menerusi laporan tiga sirinya mengenai pemanasan cuaca di pusat peranginan Cameron Highlands.

Seorang lagi wartawan kanan Bernama, Rohana Mustaffa pula muncul pemenang Rencana Cemerlang melalui rencana berjudul 'Kampung Baru - Antara Dua Darjat'.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan kesemua anugerah kepada pemenang.

Kali terakhir Bernama memenangi Anugerah Kajai iaitu anugerah utama profesyen kewartawanan negara ini ialah pada 1980an melalui Abdul Latiff Abu Bakar menerusi artikel berkenaan peristiwa Memali.

Melati yang menulis artikel bertajuk 'Mencari Dingin Udara di Cameron Highlands' membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan pingat emas 100 gram bernilai RM12,900, sementara Rohana pula menerima wang tunai RM15,000.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Melati berkata beliau tidak menjangka akan terpilih untuk menerima anugerah tersebut.

"Ini merupakan satu kejayaan yang paling tinggi untuk saya semenjak berkecimpung dalam bidang kewartawanan pada 1979, saya rasa bersyukur," katanya yang dicalonkan untuk kategori alam sekitar.

Mengulas mengenai idea untuk menulis laporan itu, Melati berkata segalanya berpunca daripada rasa kecewa apabila mendapati Cameron Highlands tidak lagi sedingin dulu.

"Saya rasa tercabar untuk tahu apa yang menyebabkan keadaan itu dan seterusnya mula berhubung dengan beberapa pihak di Cameron Highlands untuk mendapatkan maklumat," katanya.

Sementara itu Rohana membongkar permasalahan Kampung Baru khususnya dalam konteks pembangunan kawasan itu yang berada di tengah-tengah ibu kota.

Bersyukur dengan kemenangannya, Rohana menyifatkan anugerah itu sebagai amat bermakna kerana ianya adalah kemenangan pertama beliau selepas kira-kira 15 tahun tidak menulis.

"Sebelum ini saya bertugas di meja penyuntingan dan tidak menulis sebarang artikel sehinggalah saya ditugaskan pula di Meja Rencana," kata Editor Meja Rencana Bernama itu.

Mengulas mengenai artikelnya, Rohana berkata Kampung Baru adalah isu yang cukup dekat di hatinya.

"Isu Kampung Baru adalah isu kaum Melayu yang cukup dekat di hati saya. Walaupun isu ini merupakan isu lama, tetapi belum ada sebarang penyelesaian," katanya yang telah melakukan pelbagai kajian dan rujukan semata-mata untuk menulis rencana berkenaan.

Berikut ialah senarai penuh pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas (HKM) bagi mengiktiraf karya-karya kewartawanan cemerlang sepanjang 2009:

1. Esei Foto Cemerlang - Tan Seng Huat (Nanyang Siang Pau)

2. Foto Cemerlang - Fathil Asri (Berita Harian)

3. Perkhidmatan Awam Cemerlang - Zainuddin Ayip, Salawati Harris dan Dalia Ismail (Milenia Muslim)

4. Laporan Berita Cemerlang - Abdul Razak Chik (Malaysian Business)

5. Penyiasatan Cemerlang - Masami Mustaza (Malay Mail)

6. Antarabangsa Cemerlang - Shahanaz Habib (The Star)

7. Rencana Cemerlang - Rohana Mustaffa (Bernama)

8. Kolumnis/Kritikan/Komentar Cemerlang - Faizal Riduan (Muslim Milennia)

9. Alam Sekitar Cemerlang - Petronas - Laupa Junus (Utusan Malaysia)

10. Berita Video Cemerlang - Ahmad Fazli Ahmad dan Farizan Jalal (TV3)

11. Dokumentari Video Cemerlang - Hanim Muhili, Norin Hanafiah, Nawwar Raidah Aris dan Raja Hisyamuddin (TV1,RTM)

12. Wartawan Muda A.Samad Ismail - Lim Wey Wan (The Star)

13. Anugerah Khas Juri - Tiada Pencalonan, tiada pemenang

14. Anugerah Kajai - Melati Mohd Ariff (Bernama)

15. Tokoh Wartawan Negara - Dua pencalonan diterima.

Penerima Anugerah akan dinobatkan pada satu majlis berasingan. - BERNAMA

Artikel Lain