suria

Umno perlu lakukan perubahan drastik untuk kekal relevan - Muhyiddin

PULAU PINANG: Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu perlu melakukan perubahan drastik bagi memastikan Umno kekal relevan dan mendapat sokongan rakyat.

Beliau berkata perubahan itu perlu dilakukan oleh pemimpin di semua peringkat dalam tempoh dua tahun ini bagi memastikan parti itu tidak berkubur.

"Jika Umno dan pemimpinnya tidak melakukan perubahan drastik dalam tempoh itu, maka tidak mustahil satu hari nanti Umno hanya tinggal sebagai sejarah," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Tanjong, di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata masyarakat kini memandang kepada Umno dan mahu tahu bentuk perubahan dan transformasi yang bakal dilakukannya dan jika keadaan dan sikap anggota Umno masih sama seperti dahulu, keyakinan mereka akan terhakis.

Katanya ramai orang Melayu mahu bersama Umno tetapi ketika ini mereka mahu melihat bentuk perubahan yang dibawa terlebih dahulu sebelum kembali menyokong parti itu.

"Saya rasa masih belum terlambat untuk kepimpinan Umno sama ada di peringkat perhubungan mahupun bahagian untuk melaksanakan aktiviti yang bersesuaian dengan kehendak masyarakat setempat," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar mereka mengadakan lebih banyak program atau majlis muhibbah untuk mengukuhkan kerjasama di semua peringkat bagi menarik sokongan rakyat kepada parti.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman dan Setiausahanya, Datuk Azhar Ibrahim serta Ketua Umno Bahagian Tanjong, Datuk Ahmad Ibni Hajar. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain