suria

Pemuda MIC dibidas jangan ganggu Suruhanjaya Tinggi India

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu membidas sayap Pemuda parti itu agar tidak mengganggu operasi dan pentadbiran Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur.

"Saya beritahu mereka (Pemuda MIC) supaya merujuk sebarang pertanyaan berhubung perkara ini kepada saya atau Jawatankuasa Kerja Pusat MIC," kata beliau.

Samy Vellu berkata semua perwakilan asing di Malaysia mempunyai peraturan, protokol, dan langkah-langkah keselamatan sendiri dan tidak ada tolak ansor dalam soal keselamatan.

"Mereka (perwakilan asing) berhak melakukan apa yang betul demi menentukan keselamatan tidak dicerobohi," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Samy Vellu mengulas laporan berita mengenai Pemuda MIC menghantar memorandum ke Kementerian Luar melahirkan rasa kurang senang terhadap apa yang didakwa "sikap pegawai-pegawai" di Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur. Ketua Pemuda MIC T. Mohan disebut sebagai berkata, memorandum itu menyebut bahawa pegawai-pegawai Suruhanjanya Tinggi India, tidak mengira pangkat, bersikap biadab terhadap pelawat tempatan dan asing.

Memorandum itu disampaikan kepada Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay. BERNAMA

Artikel Lain