suria

Dakwa tunda pemilihan AGM MIC ke September karut Samy Vellu

PETALING JAYA: "Itu semua mengarut, tak betul," kata Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Bekas Menteri Kerja Raya itu berkata, MIC tidak menunda pemilihan jawatan tertinggi parti sebagaimana diandaikan oleh sesetengah pihak.

"CWC (Jawatankuasa Kerja Pusat) hanya memutuskan untuk mengadakan pemilihan dan perhimpunan agung pada September... tidak timbul soal ia ditunda, tidak, tak betul," kata beliau ketika dihubungi mStar Online lewat malam tadi.

Beliau mengulas laporan Bernama bahawa MIC telah menunda pemilihan jawatan tertinggi parti kecuali jawatan presiden, ke September depan.

Dengan memetik sumber parti itu laporan tersebut menyebut keputusan untuk menangguh pemilihan parti dari Jun atau Julai ke September depan diambil pada mesyuarat CWC awal bulan ini.

Sebelum ini banyak pihak mengandaikan bahawa pemilihan dan perhimpunan agung tahunan akan diadakan pertengahan tahun depan.

Samy Vellu mengesahkan pemilihan jawatan Presiden, yang beliau akan mempertahankan, akan diadakan seperti dijadualkan sebelum 8 Mac.

Di bawah sistem MIC, pemilihan bagi jawatan presiden akan diadakan berasingan daripada jawatan-jawatan utama lain parti yang diadakan ketika perhimpunan agung tahunan.

Samy Vellu menerajui parti itu sejak 1979 dan berjaya terus mengekalkan jawatannya.

Beliau sebelum ini pernah mengumumkan bahawa akan melepaskan pucuk kepimpinan parti kepada timbalannya apabila tiba masa yang sesuai - ramai melihat sebelum 2011.

Jelas Samy Vellu, CWC mengambil kira beberapa aspek sebelum memutuskan untuk mengadakan pemilihan dan perhimpunan agung pada September 2009.

Katanya, jika perhimpunan agung diadakan pada Jun atau Julai, pemilihan cawangan, bahagian dan persidangan negeri tidak dapat diadakan dalam tempoh tiga bulan selepas pemilihan presiden.

"Aspek-aspek ini diambil kira," katanya.

Malah kata Samy Vellu, beliau juga telah menulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang bakal menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, agar merasmikan perhimpunan agung September depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain