suria

Cinta Kepada Ilmu, Buku Harta Utama Sultan Nazrin Shah

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membaca sebuah buku di Galeri Tuanku baru-baru ini. Galeri Tuanku atau perpustakaan peribadi milik baginda di Petaling Jaya itu menempatkan koleksi lebih kurang 30,000 buku. Sultan Nazrin Shah memiliki ketinggian budi, berilmu pengetahuan dan sentiasa menunjukkan buah fikiran bernas dalam setiap titah baginda bakal ditabalkan sebagai Sultan Perak XXXV pada 6 Mei ini.

KUALA LUMPUR: Memiliki ketinggian budi pekerti, berilmu pengetahuan dan sentiasa melahirkan buah fikiran bernas dalam setiap titah perintah, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sentiasa meletakkan ilmu dan buku sebagai harta yang amat bernilai dalam kehidupan baginda.

"Ilmu itu sangat luas dan akan sentiasa ada yang baru, hanya dengan mencintai ilmu dan buku membolehkan kita mengejar perkembangan dunia ... malah dengan membaca menjadikan kita bertambah pengetahuan seterusnya mampu membentuk etika diri yang hebat," titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah demikian semasa pertemuan santai bersama pemberita di sebuah perpustakaan peribadi milik baginda di Petaling Jaya dekat sini baru-baru ini.

Perpustakaan peribadi itu dengan koleksi kira-kira 30,000 buku adalah hasil ilham baginda sendiri dan ia menjadi tempat kegemaran baginda dalam meluangkan masa lapang.

BUKU SENTIASA DI SANUBARI SULTAN NAZRIN

Sultan Nazrin Shah bertitah kecintaan terhadap buku adalah nilai yang perlu ditanam dalam jiwa seseorang bermula sejak kecil sebagai benih ilmu pengetahuan.

"Setiap kali keluar, perkara pertama yang saya cari adalah kedai buku, saya pernah membeli buku sehingga penuh sebuah troli, malah saya mampu habiskan sepanjang hari membaca buku, dari pagi hingga malam.

"Anak-anak saya juga menunjukkan minat yang sama, setiap malam sebelum tidur saya meluangkan masa membacakan buku kepada mereka, jika ada urusan di luar saya tetap cuba balik pada waktunya dan luangkan masa membaca bersama," titah baginda.

Hiasan dalaman perpustakaanperibadi milik Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bercirikan moden menyerlahkan lagi suasana Galeri Tuanku baru-baru ini.

Baginda bertitah membaca dan mengumpul buku telah sebati dalam jiwa baginda sejak kecil lagi dan ini yang mendorong baginda merialisasikan sebuah perpustakaan bagi menempatkan koleksi bacaan baginda.

"Disebabkan buku saya terlalu banyak ia selalu bersepah di merata tempat, apabila saya perlukan sukar untuk dicari. Saya kata kepada arkitek saya bukan mahukan perpustakaan dalam rumah tetapi rumah dalam perpustakaan ... begitulah konsepnya," titah baginda.

PERPUSTAKAAN PERIBADI SULTAN NAZRIN

Perpustakaan peribadi Sultan Nazrin yang berkonsep moden kontemporari itu  memuatkan koleksi buku pelbagai genre dan antara bacaan kegemaran baginda adalah buku ekonomi, falsafah, sejarah dan politik.

Baginda bertitah walaupun teknologi moden berkembang pesat dengan buku boleh dibaca atas skrin, buku mempunyai nilainya tersendiri dan merupakan pilihan terbaik untuk diberi sebagai hadiah.

"Mungkin saya old fashion, pada saya buku lebih mesra, boleh dipegang, boleh dibelek setiap helaian, boleh ditulis nota pada permukaannya... zaman sekarang ramai berminat membaca on screen namun bagi saya buku lebih istimewa.

"Buku adalah hadiah terbaik untuk diberi dan apabila saya merasakan sesebuah buku itu bagus kandungannya saya akan membelinya lebih daripada sebuah untuk dihadiahkan kepada orang lain," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah rakyat perlu sedar akan peranan sebuah buku dan kepentingan ilmu pengetahuan hendaklah terus disemai dalam diri seseorang dari awal lagi agar minat membaca itu sentiasa subur.

"Berusahalah mendisiplinkan diri untuk membaca beberapa jam setiap hari, lakukannya secara konsisten, pupuklah minat terhadap ilmu dengan cara yang menyeronokkan, gunakanlah apa sahaja medium bersesuaian asalkan tidak berhenti mencari ilmu," titah baginda.

Antara kegemaran lain Sultan Nazrin ialah, mengumpul manuskrip lama, lukisan daripada pelukis tempatan serta menulis, baginda juga berhasrat membuka sebuah galeri foto peribadi di Kuala Kangsar atau di Ipoh, Perak.-- Bernama


Artikel Lain