suria

Lelaki Australia ‘terperangkap’ selama 8,000 tahun di Israel selepas bekas isteri fail cerai

Hupert mahu menyebarkan kesedaran mengenai undang-undang kejam di Israel.

SEORANG lelaki Australia mendakwa dirinya 'terperangkap' di Israel sejak 2013 dan dilarang meninggalkan negara itu untuk 8,000 tahun akan datang selepas isterinya, yang merupakan warga negara tersebut, memfailkan permohonan cerai.

Noam Huppert, 44, secara rasmi dilarang meninggalkan Israel sehingga 31 Disember pada tahun 9999, kecuali apabila dia membayar lebih daripada USD 3 juta (RM 12,549,000) untuk nafkah anak-anaknya bagi masa hadapan.

Bercakap kepada media Australia, Huppert berkata dia adalah salah seorang daripada ribuan lelaki warga asing yang menjadi mangsa undang-undang perceraian yang digelar sebagai 'kejam dan keterlaluan' oleh aktivis hak asasi manusia.

Huppert, seorang ahli kimia analitik di sebuah syarikat farmaseutikal, berpindah ke Israel pada 2012 untuk lebih dekat dengan dua anaknya yang masih kecil.

Tidak lama selepas itu, bekas isterinya memfailkan kes di mahkamah Israel yang kemudiannya mengeluarkan perintah 'stay-of-exit' terhadapnya kerana 'hutang nafkah masa depan' sebanyak 5,000 shekel Israel sebulan, sehingga kedua-dua anaknya berusia 18 tahun.

Sehingga dia membayar jumlah keseluruhan 'hutang' tersebut, warga Australia itu dilarang meninggalkan Israel walaupun untuk bercuti atau bekerja. - India.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain