suria

Mangsa nahas tunjuk ‘parut’ kesan tali pinggang keledar selamatkan nyawa mereka

Willy Carberry (tengah) antara 10 mangsa terselamat daripada nahas menyertai kempen kepentingan memakai tali pinggang keledar. Foto NZ Transport Agency

'PARUT' pada badan mereka yang terlibat dalam kemalangan kereta menunjukkan tali pinggang keledar mampu menyelamatkan nyawa.

Kempen iklan terbaharu memaparkan kesan pada mangsa selepas mereka terlibat dalam kemalangan.

Teknik solekan digunakan untuk mencipta semula seseorang mangsa selepas nahas.

Willy Carberry merupakan antara 10 individu yang menyertai kempen Agensi Pengangkutan New Zealand (NZTA), dengan kebanyakannya menyasarkan pemandu lelaki di kawasan luar bandar. 

Dia membuat pengakuan mengenai penggunaan tali pinggang keledar apabila terselamat dalam kemalangan melanggar tiang elektrik pada 2014 sehingga keretanya terbalik.

"Tidak kira berapa dekat pun perjalanan itu," katanya.

Semua imej kempen menggunakan teknik solekan khas. Foto NZ Transport Agency

"Anda tidak pernah tahu siapa yang akan keluar dari persimpangan, mengundur keluar ke jalan atau seorang wanita tua yang rebah di tengah jalan kerana strok.

"Jika anda tidak memakainya, anda mempertaruhkan nyawa anda," tambahnya.

Carberry dari Upper Hutt, North Island berkata, dia mungkin maut sekiranya tidak mengambil langkah pencegahan.

NZTA yang mahu masyarakat menjadikan tali pinggang keledar sebagai keperluan memberitahu, statistik menunjukkan kira-kira 90 mangsa dapat diselamatkan setiap tahun sekiranya mereka memakai kemudahan itu. 

Dr Natasha McKay, yang memberikan panduan mengenai teknik solekan khas untuk imej kempen tersebut berkata: "Tali pinggang keledar benar-benar meninggalkan tanda seperti ini.

"Ia akan menyelamatkan nyawa anda, tetapi ia akan meninggalkan tanda untuk menunjukkan bagaimana mereka melakukannya."

Beliau menambah, kebanyakan lelaki tidak memakai tali pinggang keledar di dalam kereta. - Metro UK

tali pinggang keledar

Artikel Lain