suria

Tukang cuci jumpa jongkong emas, nilainya mampu ubah kehidupan

-foto IBT Media

SEORANG tukang cuci di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon Korea Selatan menjumpai sesuatu yang boleh mengubah kehidupannya.

Lelaki tersebut, yang nama penuhnya tidak didedahkan dalam akhbar Korea Selatan menemui tujuh jongkong emas bernilai 350 juta won (kira-kira RM1.4 juta) dalam tong sampah minggu lepas dan dalam tempoh enam bulan, dia mungkin menjadi pemilik sah emas itu.

Sebaik sahaja menjumpai jongkong tersebut, dia segera memaklumkan pihak berkuasa kastam lapangan terbang tentang emas itu yang masing-masing mempunyai berat 1 kilogram dan dibungkus dengan surat khabar, berdekatan kawasan bebas cukai terminal pelepasan.

Polis telah mengenal pasti seorang lelaki Korea sebagai pemilik emas itu dan dua lelaki lain yang membuangnya dalam tong sampah dipercayai takut dengan pemeriksaan kastam, menurut agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Polis percaya lelaki-lelaki itu membuat perjalanan dari Hong Kong, di mana cukai tidak dikenakan ke atas pembelian emas, masuk ke Jepun melalui Korea Selatan kerana berfikir lebih mudah melepasi pemeriksaan kastam.

Seorang sumber polis memberitahu akhbar Chosun Ilbo kegiatan penjenayah menyeludup emas ke Jepun melalui Korea Selatan adalah perkara biasa yang mana jenayah itu semakin meningkat sejak Jepun meningkatkan cukai ke atas barangan yang dibeli di luar negara dari lima hingga lapan peratus pada April 2014.

Pada Januari, tujuh wanita Korea Selatan ditangkap menyeludup emas ke Jepun selepas imbasan x-ray mengesan beberapa blok logam, masing-masing dengan berat 200 gram di dalam perut mereka, lapor akhbar Jepun, Asahi pada masa itu.

Siasatan kini perlu dibuat untuk memastikan bahawa emas itu tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah.

Sekiranya pemilik jongkong tidak tampil untuk menuntutnya, tukang cuci itu dapat membuat tuntutan terhadap emas itu sebagai hak miliknya yang sah seperti yang ditetapkan dalam undang-undang negara ini, menurut The Korea Times.

Walaupun pemilik bar emas menuntut hartanya, di bawah undang-undang Korea Selatan tukang cuci itu masih berpeluang mendapat antara lima dan 20 peratus dari nilai pasarannya, dari RM63,000 hingga RM256,000.

jongkong emas, emas seludup

Artikel Lain