suria

Gadis beritahu mahkamah 'masih cinta' walau diheret, diserang kekasih

ANAK lelaki seorang pegawai kerajaan China dipenjara atas kesalahan memukul teman wanitanya walaupun mangsa memohon supaya dia dijatuhkan hukuman ringan.

Menerusi kamera CCTV di bangunan The Heron, London, Hartao Pan, 25, mengheret Jinghan Zhang, 22, sebelum menyerangnya selama 10 minit di bahagian badan dan muka.

Ketika mangsa melarikan diri ke bilik mandi dan mengunci pintu, Pan menendangnya berulang kali dan mengambil pisau serta menikam pintu bilik mandi itu seperti babak dalam filem seram 'The Shining.'

Pan dikatakan menyerang teman wanitanya kerana mengesyaki dia berbalas mesej cinta dengan lelaki lain menerusi aplikasi sembang WhatsApp.

Dia ditangkap selepas gadis itu berjaya keluar dari flat kediamannya setelah meminta seorang penyambut tetamu untuk memanggil polis.

Bagaimanapun, Zhang yang sedang menuntut dalam bidang filem di Goldsmiths University, masih menyokong teman lelakinya sewaktu dia didakwa di mahkamah.

Ujarnya, dia masih mencintai teman lelakinya dan serangan itu 'tidak memberi impak kepadanya'.

Sementara itu, Hakim, Michael Topolski QC menganggap kenyataan gadis itu sebagai 'mengganggu' dan menolak permohonannya supaya hukuman penjara tidak dilaksanakan.

"Mahkamah kerap menyaksikan kes serangan ke atas wanita. Sikap cemburu menjadi punca kepada serangan ini..

"Penggunaan pisau menunjukkan tahap kemarahan yang melampau dalam diri suspek. Tak boleh nak bayangkan bagaimana perasaan mangsa pada waktu itu.

"Kesalahan ini hanya boleh diselesaikan dengan menjatuhkan hukuman penjara segera ke atas pesalah," ujar hakim berkenaan.

Menurut pihak mahkamah, pasangan itu mula bersama sejak zaman remaja dan datang ke Britain untuk menyambung pelajaran di peringkat sarjana beberapa tahun lalu.

Gadis itu menuntut dalam bidang filem manakala teman lelakinya baru memulakan pengajian dalam bidang alam sekitar setelah menghabiskan setahun untuk mempelajari bahasa Inggeris.

Yuran pengajian Pan dan sewa rumahnya dibiayai oleh bapa saudaranya yang memiliki restoran di China, dan bapanya dikatakan bertugas sebagai ketua pasukan yang berkhidmat untuk kerajaan China.

Pada 1 April lalu, pasangan itu dikatakan keluar ke sebuah restoran Jepun sebelum kembali ke apartmen pada pukul 11 malam untuk minum.

Pan dikatakan menghabiskan tiga botol whisky Jepun, sebotol wain Jepun dan dua minuman koktel Jaeger bomb.

Rakaman CCTV sekitar pukul 10.30 pagi keesokan harinya memaparkan Zhang berlari keluar dari apartment sambil diekori Pan.

Menurut pendakwaraya Sherry Nabijoo, Pan dilihat mengheret mangsa kembali ke apartmen berkenaan.

Menurut kenyataan Zhang kepada pihak polis, dia mula disepak ketika sedang menggunakan telefon di dalam bilik tidur.

Selain disepak di kaki dan muka, suspek turut memecahkan gelas ke lantai.

Zhang dikatakan mengunci dirinya di dalam bilik air sebelum Pan menikam pintu kayu lebih 10 kali.

Gadis itu berjaya keluar sewaktu lelaki itu sedang leka bercakap telefon.

"Saya minta maaf, saya mabuk," ujar Pan kepada polis.

Menerusi penjelasan kepada pegawai pemeriksa, Pan menjelaskan tindakannya berpunca kerana dia menyangka Zhang sedang berbalas mesej cinta dengan lelaki lain.

Tambahnya, perasaannya semakin tidak menentu setelah teman wanitanya bertindak mengunci diri di dalam bilik air kerana bimbang wanita itu tidak sedarkan diri selepas dipukulnya.

Zhang berada di mahkamah sepanjang sesi pendengaran.

Pan mengaku bersalah atas kesalahan mencederakan teman wanitanya dan dipenjara selama lapan bulan. -The Telegraph

kekasih, serang

Artikel Lain