suria

Ibu hamil parah ditembak anak sendiri

Lokasi kejadian seorang ibu ditembak anak perempuannya berusia tiga tahun di dalam kereta. Foto WGNO abc

SEORANG ibu parah selepas ditembak oleh anak perempuannya berusia tiga tahun yang menjumpai sepucuk pistol di dalam kereta yang dinaiki mereka.

Tembakan yang dilepaskan anak perempuan mangsa menembusi kerusi di dalam kereta yang diletakkan di pusat membeli-belah Merrillville di Illinois, Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan NY Daily Times, saksi memberitahu mereka mendengar jeritan seorang wanita yang kesakitan.

Saksi lain pula memberitahu mangsa dilihat berjalan terhuyung-hayang dalam keadaan berlumuran darah sambil menjerit meminta bantuan.

"Dia hanya jerit 'tolong! tolong!," kata seorang saksi, Rebecca.

Wanita berusia 21 tahun yang cedera itu dikenal pasti oleh WMAQ sebagai Shaneque Thomas.

Menurut laporan Times of Northwest Indiana, mangsa dipercayai mengandung selama kira-kira enam minggu.

Sementara itu, ABC melaporkan bahawa kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4 petang waktu tempatan pada Selasa lalu di 300 block East 81st Avenue.

Ketika kejadian, Shaneque berada di tempat duduk hadapan, manakala anak perempuannya berusia tiga tahun itu di tempat duduk belakang. - Mirror UK


Artikel Lain