suria

Tersalah Pilih Snek, Ular Sawa Telan Selipar

SEEKOR ular sawa nampaknya telah tersalah memilih makanan apabila menelan selipar seorang lelaki untuk snek makan malamnya.

Dalam kejadian di Haidlea, barat Brisbane, Australia minggu lepas, pasangan penangkap ular Sally dan Norman Hilldari N & S Snake Catcher dipanggil selepas reptilia itu dilihat di sebuah rumah pada Jumaat.

Seorang lelaki tua bersama seorang saudara telah menemuinya semasa mencari salah satu seliparnya yang hilang beberapa hari sebelum itu.

Sebaik sahaja mereka melihat terdapat benjolan berukuran kasut pada badan ular itu, mereka mula teringatkan kasut yang hilang.

Sally berkata ular sawa itu menelan kasut itu pada malam Selasa.

"Lelaki itu baru hendak tidur dan biasanya meletakkan selipar di bawah katil. Apabila dia bangun pagi Rabu, sebelah seliparnya hilang," kata Sally.

"Mereka mencari kasut itu dan tidak dapat menemuinya sehinggalah mereka menemui ular itu beberapa hari kemudian."

Suami Sally, Norman adalah orang yang 'mengeluarkan' ular tersebut dari tempat persembunyiannya.

"Apabila kami menangkap ular itu, jelas sekali haiwan itu yang makan selipar tersebut," katanya.

"Anda dapat merasakan 'getah' dalam perutnya, anda boleh rasa adanya selipar itu melalui kulitnya."

Sally mempunyai teori sendiri mengapa ular sawa itu boleh menghidu selipar tersebut sebagai makanan.

"Pendapat saya seekor tikus atau possum (sejenis tupai) telah berkeliaran di sekitar selipar dan ular itu melihatnya," katanya.

"Ini kali pertama pertama kami bertemu dengan seekor ular yang makan selipar atau benda pelik, biasanya dalam perut ular ada possum, kucing, anjing atau ayam tetapi selipar adalah yang baharu."

Ular sawa itu dibawa ke HerpVet di Mount Ommaney, yang mana imbasan X-ray mengesahkan terdapat selipar di dalam perutnya.

Reptilia itu berjaya dibedah untuk mengeluarkan selipar getah itu pada petang Isnin.

"Ini adalah salah satu daripada imbasan radiografi yang paling menarik pernah saya lihat," tulis HerpVet di Facebook.

"Pembedahan dilakukan di bawah anestetik umum untuk membuang objek asing, dalam prosedur yang disebut koeliotomy dan gastrotomy.

"Setelah mengeluarkan selipar, perut ditutup dengan dua lapisan, otot dinding badan ditutup dan staples pembedahan digunakan untuk kulit.

"Ular itu diberikan cecair, anti-radang dan ubat penahan sakit.

"Sebaik sedar, ia berada dalam keadaan baik dan menjalani pemulihan dalam beberapa hari."

"Ia akhirnya akan dilepaskan semula ke dalam hutan."

Tahun lepas ular sawa di Townsville ditemui dengan bola tenis di dalam perutnya. -ABC News


ular sawa, selipar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain