suria

Lahir Hasil Sperma Derma, Wanita Ini Jejak 40 Adik-Beradik Sama Bapa

Kiani (dua kanan) bersama sebahagian adik-beradiknya. Foto: Kiani Aroyyo

SEORANG wanita yang bapanya adalah seorang penderma sperma telah mengesan 40 saudara kandung yang dilahirkan hasil sperma lelaki yang sama.

Dia telah berkongsi tentang pertemuan dan mereka yang berjaya dijejakinya di media sosial.

Kianni Arroyo, dari Orlando, pertama kali memulakan projek menjejaki kumpulan ini lima tahun lalu, ketika dia bersekolah menengah.

Dia telah menemui empat set kembar dan adik-beradik lain yang setakat ini datang dari Australia, New Zealand dan Kanada.

Arroyo, 21, adalah yang paling tua dilahirkan hasil sperma bapanya, dengan bayi termuda baru berusia lima bulan.

Arroyo yang bekerja sebagai pelayan, memberitahu Metro AS: “Saya dibesarkan oleh ibu dan dia selalu jujur ​​dengan saya mengenai hakikat bahawa saya dilahirkan dengan pendermaan sperma.

“Saya selalu mahu tahu lebih lanjut tentang siapa saya, dan sama ada saya mempunyai adik-beradik, jadi sebaik sahaja saya cukup umur untuk mengakses rekod, saya melakukannya.

”Sejak memulakan pencariannya, Arroyo telah bertemu dengan seorang adik perempuannya, Joanna, 20, yang tinggal di Tampa, tidak jauh dari tempatnya.Mereka yang merupakan adik beradik dengan jarak usia paling dekat telah menjadi kawan baik dan bertemu satu sama lain setiap bulan.

Arroyo yang sangat positif tentang keluarganya yang berkembang itu, berkata dia sentiasa berhubung baik dengan saudara-saudara yang baru ditemuinya.

“Bila berjumpa, kami cepat serasi. Walaupun kami tak pernah bertemu sebelum ini, mempunyai seorang bapa yang sama memberikan kami satu kaitan yang sangat istimewa, kami rasa selesa antara satu sama lain.”

Dia juga bertemu dengan bapanya dan menggambarkannya sebagai seorang lelaki yang 'sangat selamba’. Bapanya yang tidak mahu mendedahkan identitinya telah bertemu Arroyo sebanyak tiga kali, dengan pertemuan terakhir pada Januari.

Kali pertama mereka berdua bertemu semasa berkunjung ke Universal Studios di Orlando ketika Arroyo berusia 18 tahun, dengan ibunya Ruth turut serta.

Penderma sperma sepatutnya hanya boleh menyediakan antara 15 dan 20 sampel, tetapi syarikat tempat bapa Arroyo yang melakukannya, Xytex telah diambil alih dengan pembelian.Rekod mereka kemudiannya dihapus, bermakna dia boleh mula menderma semula.

Sesetengah keluarga yang sudah mempunyai seorang anak hasil spermanya telah meminta sampel yang lain, jadi anak yang lahir seterusnya boleh menjadi saudara kandung dengan sperma bapa yang sama.Arroyo akan berkahwin dengan rakannya, Ryan, 21, tahun ini dan berharap dapat melawat beberapa lagi adik beradiknya yang tinggal jauh.

Kira-kira 30 daripada 40 adik beradik yang dijejaki ingin bertemu dengannya dan dia berharap dapat menghubungi mereka secepat mungkin.Penderma sperma yang paling produktif di dunia ialah lelaki Inggeris, Simon Watson, 42, yang mencari calon melalui Facebook. -metroUK

Sperma Derma, Adik-Beradik

Artikel Berikut

Jadi Lelaki Demi Dowry

Artikel Lain