suria

17 Maut, 50 Cedera Dalam Insiden Tembakan 'Hari Kekasih' Di Sekolah

Paparan skrin daripada liputan insiden tembakan di sebuah sekolah yang diambil daripada sebuah helikopter. -VSVN

SEKURANG-KURANGNYA 17 orang maut dan 50 lagi cedera selepas seorang bekas pelajar melakukan tembakan besar-besaran pada sambutan Hari Kekasih di Florida, Amerika Syarikat.

Pembunuhan beramai-ramai itu bermula di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas di Parkland sebelum para pelajar dibenarkan pulang pada hari tersebut.

Penggera kebakaran berbunyi sebelum tembakan berlaku di tingkat tiga sekolah itu yang memiliki hampir 3,000 pelajar.

Para pelajar bersembunyi di bawah meja dan berkongsi video serta gambar yang menggerunkan tentang insiden itu yang berlangsung selama beberapa minit.

Pihak polis berkejar ke lokasi kejadian dan menahan suspek, Nikolaus Cruz, 19.

Liputan dari helikopter berjaya merakamkan kelibat suspek yang berpakaian kemeja berwarna ungu dan diiringi masuk ke kereta polis dengan tangan bergari.

Dipercayai ini merupakan suspek (dalam bulatan merah) kes tembakan tersebut.

Sekurang-kurangnya 14 mangsa telah dibawa ke hospital.

Polis Daerah Broward yang mengesahkan kejadian itu berkata: "Ia menggerunkan. Tidak ada kata-kata untuk diluahkan."

"Terdapat beberapa mangsa yang maut. Ini satu situasi yang menakutkan," kata polis berkenaan, Scott Israel.

Scott berkata, suspek yang merupakan seorang remaja menyerah diri kepada pihak polis dengan tenang.

Sementara itu, laporan yang dipetik daripada laman sosial mendakwa suspek turut memakai topeng gas.

Seorang pelajar bernama Aidan yang memuat naik Tweet secara langsung berkata: "Sekolah saya sedang 'ditembak' dan saya terkunci di dalamnya. Saya takut sekarang."

Aidan kemudian menulis: "Masih terkunci. Saya menyemak berita tempatan dan terdapat 20 mangsa. Tuhan selamatkan Sekolah Tinggi Majory Stoneman Douglas." - Mirror UK

tembakan, Hari Kekasih

Artikel Lain