suria

KP Sharma Oli Dipilih Perdana Menteri Nepal Baharu

KATHMANDU: Pengerusi parti Komunis Unified Marxis-Lenin,CPN-UML Nepal, KP Sharma Oli dipilih sebagai Perdana Menteri Nepal ke-38, menewaskan penyandang jawatan itu, Sushil Koirala pada Ahad.

Oli yang memimpin parti kedua terbesar di Parlimen memperoleh 338 undi daripada 598 undi manakala penyandang Perdana Menteri Koirala yang juga pengerusi parti terbesar di Parlimen hanya memperoleh 249 undi pada pemilihan yang diadakan di Parlimen Nepal, Ahad.

"Dengan ini, saya mengisytiharkan KP Oli sebagai Perdana Menteri," kata Speaker Parlimen Subash Chandra Nembang ketika mengumumkan keputusan pilihanraya.

Pemilihan Perdana Menteri baharu diadakan mengikut peruntukan Perlembagaan baharu yang menyatakan bahawa "Perdana Menteri baharu hendaklah dipilih dalam tempoh seminggu permulaan sidang pertama Parlimen selepas pengisytiharan Perlembagaan Baharu".

Perlembagaan baharu Nepal telah diisytiharkan pada 20 September tahun ini.

Oli turut mendapat sokongan daripada parti ketiga dan keempat terbesar di Parlimen sementara Koirala hanya mendapat sokongan beberapa parti serpihan.

Selepas pemilihan berkenaan, Oli dengan gembiranya memberitahu pemberita,"Saya gembira untuk mendapatkan sokongan padu daripada pihak lain dan saya akan memberi komitmen untuk menangani krisis semasa yang dihadapi negara ini,terutamanya berkaitan sekatan sempadan dengan India".

Sementara Koirala berkata, "Saya akan memberi kerjasama kepada Perdana Menteri baharu berdasarkan isu".

Oli juga adalah Perdana Menteri komunis yang keenam di Nepal.

Di Nepal Perdana Menteri bertindak sebagai Ketua Eksekutif manakala Presiden hanyalah untuk majlis rasmi.- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain