suria

Surakarta Hos Pernikahan Anak Sulung Jokowi

Gibran Rakabuming (tengah) dan Selvi (kanan) akan berkahwin pada 11 Jun ini.
SURAKARTA bakal menjadi hos majlis perkahwinan yang dinanti-nantikan tahun ini, antara anak lelaki Presiden Joko Widodo, Gibran Rakabuming Raka dan Ratu Cantik Surakarta 2009, Selvi Ananda.

Majlis itu akan berlangsung pada 11 Jun dan jemputan di kalangan kenamaan dijangka hadir di bandar di mana Jokowi berkhidmat sebagai datuk bandar selama tujuh tahun antara 2005 hingga 2012.

Mengikut perancangan, kenamaan akan dibawa menaiki 300 beca dari tempat meletak kenderaan ke lokasi persandingan di Graha Saba Buana yang dimiliki keluarga Jokowi.

"Beca yang disediakan kerana jarak yang agak jauh antara tempat letak kereta dengan lokasi majlis, jadi tidak elok untuk membiarkan tetamu berjalan," kata Datuk Bandar Surakarta, FX Hadi Rudyatmo seperti dilaporkan agensi berita Antara.

Keseluruhannya seramai 628 pegawai keselamatan melibatkan anggota polis dan tentera yang akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan presiden dikerahkan bagi memastikan majlis itu berlangsung tanpa sebarang kejadian tidak diingini, kata Ketua Polis Surakarta, Komander Kanan Achmad Lutfi.

Selvi ketika dinobatkan sebagai Ratu Cantik Surakarta 2009. 

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan laluan trafik untuk ke majlis berkanaan tetapi menegaskan aspek keselamatan menjadi keutamaan pihaknya.

Ketua Agensi Pengangkutan, Komunikasi dan Informasi Surakarta Yosca Herman Soedrajat pula berkata, laluan berdekatan lokasi majlis akan ditutup pada hari berkenaan.

Gibran dan Selvi berkenalan sejak enam tahun lalu ketika anak sulung Jokowi itu menjadi juri pertandingan ratu cantik yang disertai Selvi. 

Ketika memenangi pertandingan itu, ibu Gibran, Iriani Widodo yang kini Wanita Pertama Indonesia meletakkan mahkota kemenangan di kepala Selvi.

Bagi Pengerusi Persatuan Ratu Cantik Solo, Febri Hapsari Dipokusumo memberitahu The Jakarta Post, hubungan itu mendapat restu kedua ibu bapa Gibran.

Berusia 27 tahun, Gibran adalah anak sulung daripad tiga beradik dan kini menguruskan perniagaan katering di Surakarta sejak 2010.

Sementara itu, Selvi, 26 bekerja di sebuah bank di bandar sama dan kini telah menamatkan khidmatnya untuk memberi tumpuan kepada majlis pernikahannya.

Majlis berkenaan akan diadakan selama tiga hari bermula 9 Jun meliputi siraman, midodareni atau berinai sebalum ngunduh mantu atau majlis menerima menantu pada 11 Jun.

Surakarta, perkahwinan, Joko Widodo

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain