suria

Aman Palestin Hantar Pakar Perubatan Latih Doktor Muda Gaza

BANGI: Aman Palestin Berhad akan menghantar sepasukan enam pakar perubatan ke Gaza dari 26 Mac hingga 8 April untuk memberi latihan kepada doktor muda Gaza dan melakukan 21 pembedahan kritikal yang telah dikenal pasti.

Perunding Aman Palestin Berhad Dr Zainurrashid Zainuddin berkata pasukan itu, yang akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Palestin dan Hospital Palestin di Gaza, juga dijadual mengadakan seminar dan syarahan di fakulti perubatan Universiti Islam Gaza.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, Dr Zainurrashid, yang akan mengetuai misi perubatan itu, berkata pasukan berkenaan akan dianggotai enam pakar daripada pelbagai bidang iaitu seorang pakar bedah umum, seorang pakar urologi, seorang pakar bedah tangan, seorang pakar bedah ortopedik dan seorang pakar ginekologi. "Pembedahan yang akan dilakukan semasa misi itu termasuk enam kes ortopedik, 11 kes urologi dan empat kes neurologi, yang keseluruhannya melibatkan anggaran kos RM500,000," katanya.

Dr Zainurrashid, pakar ginekologi di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, berkata tiga hospital di Gaza - Al-Quds Hospital, Asdeeqa Al-Marid Hospital dan Al-Awda Medical Centre - akan menyertai misi itu.

Beliau berkata ini merupakan misi perubatan pertama Palestin Aman, setelah menghantar 14 misi kemanusiaan sebelum ini.

Sementara itu ketua pegawai eksekutif Aman Palestin Awang Sufian Awang Piut berkata Aman Palestin membuat keputusan menghantar kumpulan pakar itu kerana mendapati doktor di Palestin belum terdedah kepada kemajuan terkini dalam bidang perubatan.

"Kami harap misi ini akan membantu mereka menambah pengetahuan tentang penemuan dan teknologi terbaru dalam bidang perubatan," katanya.

Beliau berkata misi itu akan dibiayai Aman Palestin dan melalui sumbangan rakyat Malaysia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain