suria

International Herald Tribune Tukar Nama Kepada International New York Times

NEW YORK: Akhbar berpengaruh Amerika, The New York Times (NYT) akan menukar nama edisi global mereka iaitu International Herald Tribune (IHT) kepada nama baru untuk memperkukuhkan imej mereka di persada dunia.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif NYT, Mark Thompson menyebut akhbar edisi global mereka yang berusia 125 tahun itu yang sebelum 1966 dikenali dengan nama New York Herald Tribune selepas musim luruh nanti akan dikenali dengan nama baru iaitu International New York Times.

Menurutnya, revolusi digital telah menjadikan NYT sebagai sebuah akhbar global dan bukan akhbar tempatan lagi.

Oleh yang demikian katanya, adalah sesuai nama edisi globalnya turut membawa nama NYT dan bukan lagi IHT.

Antara tahun 1967 hingga ke tahun 2003, IHT dimiliki bersama oleh NYT dan sebuah lagi akhbar popular Amerika iaitu Washington Post.

Di samping itu NYT juga adalah pemilik akhbar Boston Globe dan beberapa aset ke atas akhbar wilayah dan daerah.

Bagaimanapun NYT dilaporkan berhasrat untuk melepaskan kepentingan mereka ke atas semua akhbar-akhbar ini dan hanya menumpukan perhatian kepada produk teras sahaja.

Untuk tahun kewangan berakhir 2012, NYT telah mencatatkan keuntungan sehingga AS$133 juta berbanding kerugian sebanyak AS$39.7 juta pada tahun sebelumnya.

Thompson juga berkata, buat pertama kalinya dalam sejarah, pendapatan daripada jualan tahunan akhbar itu termasuklah bayaran untuk mengakses kandungan NYT secara dalam talian telah mengatasi jumlah pendapatan daripada pengiklanan.

Artikel Sebelum

Roket Mendarat Di Bandar Israel

Artikel Berikut

Artikel Lain