suria

Bom Jangka Meledak Di Bogor

JAKARTA: Semasa polis Indonesia bekerja keras menyiasat empat kejadian kiriman bungkusan buku berisi bom kepada empat individu di Jakarta sejak Selasa lalu, mereka kini berdepan pula dengan kes penghantaran bom jangka di satu kawasan perumahan di Bogor, Jawa Barat.

Bom yang diletakkan dalam sebuah kotak mee segera dan dibungkus dengan beg plastik berwarna hitam itu meletup dengan sendiri sebelum anggota polis dari unit pemusnah bom sempat meletupkannya di sebuah kawasan lapang di kawasan perumahan itu.

Kejadian yang berlaku di Kota Wisata Cibubur, pada tengah hari Jumaat itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kemalangan jiwa kerana letupan itu bersifat lemah.

Ketua Polis Bogor Dadang Raharja dilaporkan oleh media tempatan sebagai berkata bahawa bom itu ditemui seorang tukang sapu kawasan perumahan itu, dan pada kotaknya tertulis perkataan "ini isi bom" serta tulisan "Allahuakbar".

Pekerja itu kemudian melaporkan penemuannya kepada pengawal keselamatan yang menghubungi polis.

Berikutan kejadian itu, Dadang berkata polis memperketatkan pengawasan di kawasan perumahan itu.

Walaupun tempat kejadian agak jauh dari kediaman Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Puri Cikeas Indah, Bogor, pihak berkuasa dilaporkan kini lebih berwaspada.

Jurucakap presiden Julian Aldrin Pasha dilaporkan berkata masyarakat diminta supaya tidak menyalaherti kes penemuan bom dan letupan yang berlaku itu sebagai serangan terhadap Ketua Negara Indonesia, meskipun tempat kejadian itu di lihat semakin menghampiri kediaman Yudhoyono.

Sehingga sekarang kawalan keselamatan terhadap Presiden masih mengikut prosedur sedia ada dan tidak ditingkatkan, katanya.

Ketua Polis Indonesia Jeneral Timur Pradopo turut menyatakan bahawa polis tidak meningkatkan status keselamatan di ibukota Jakarta berikutan empat kejadian pengiriman bom sejak Selasa lalu itu.

Polis masih bekerja keras menyiasat kes berkenaan dan masyarakat diminta supaya tidak resah, menurut Timur yang dipetik oleh agensi berita Antara. - BERNAMA

Artikel Lain